Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail mengadakan lawatan ke reruai pameran sempena majlis perasmian Ekspo Usahawan Selangor (Selbiz) 2022 anjuran PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 3 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor fokus industri perkhidmatan, penyumbang terbesar KDNK

SHAH ALAM, 3 SEPT: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan dari sektor pembuatan, peruncitan juga perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) dengan lebih 70 peratus.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata sehubungan itu Kerajaan Negeri menitik berat program berkaitan keusahawanan.

“Sebelum ini Dato’ Menteri Besar memaklumkan Selangor sumbang 24.8 peratus kepada KDNK Negara dan 78.2 peratus datangnya dari industri perkhidmatan iaitu kita semua ini usahawan kecil, mikro dan sebagainya.

“Jaringan dan ekosistem yang ada ini memungkinkan sumbangan tersebut berlaku,” katanya ketika merasmikan Ekspo Usahawan Selangor (Selbiz) 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berucap ketika majlis perasmian Ekspo Usahawan Selangor (Selbiz) 2022 anjuran PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 3 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Rodziah berkata Kerajaan Negeri mengambil pelbagai langkah untuk memastikan PKS termasuk usahawan mikro dan informal dapat membangun dan meluaskan perniagaan.

“Antaranya dengan menyediakan platform bagi usahawan menyertai program pameran seperti Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) dan  terkini Selbiz diusahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),” katanya.

Pada program Selbiz 2022 sebanyak 151 pempamer terlibat membabitkan  peniaga industri makanan serta peruncitan dan perkhidmatan.

Ekspo bermula 10 pagi hingga 10 malam itu turut menampilkan beberapa pakar serta profesional yang akan berkongsi ilmu berkenaan pemasaran, akaun serta aliran wang tunai.


Pengarang :