Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena program jamuan rakyat di Taman AU5, Gombak pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN azam teruskan urus tadbir berintegriti jika menang

HULU KELANG, 2 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) berazam meneruskan amalan pentadbiran berintegriti jika diberi mandat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gabungan itu mahu mengatur semula perkara yang tidak sempat dilakukan sepanjang 22 bulan menerajui pentadbiran negara susulan Langkah Sheraton.

“Pengalaman kita (HARAPAN) 22 bulan (memerintah negara). Memanglah agak menyakitkan sebab kita sedang aturkan balik (pentadbiran).

“Saya percaya HARAPAN boleh buat di Putrajaya (pada PRU15) apabila kita ada pengalaman melukakan. Kita perbetulkan apa yang kita lakukan (sepanjang tempoh 22 bulan).

“Insya-Allah, bila diberikan amanah kita akan buat yang terbaik (untuk) pulihkan ekonomi dan maruah negara,” katanya dalam ucapan sempena majlis jamuan rakyat dan ceramah di Skate Park AU5 di sini malam tadi.

Calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Parlimen Gombak itu berkata penurunan indeks persepsi rasuah (CPI) negara bukti jelas kejayaan pentadbiran HARAPAN.

“Kita ada bukti CPI semasa HARAPAN (mentadbir) berjaya diperbaiki daripada 61 peratus kepada 51 peratus. Dalam tempoh setahun kita turunkan indeks ini.

“(Selepas) (PN) Perikatan Nasional tadbir, (CPI) naik balik jadi 58 peratus. Masuk (Datuk Seri) Ismail (Sabri Yaakob), naik 62 peratus. Jadi ini bukan kerja satu hari,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dan menyapa penduduk dalam program jamuan rakyat di Taman AU5, Gombak pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :