Penjaja dan pengusaha restoran di Selangor diwajibkan memakai pelitup muka mulai 1 Januari 2023 bagi mengelak penularan Covid-19 dan mencegah isu keracunan makanan sekali gus menambah keyakinan pelanggan. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA terus beri kesedaran untuk peniaga pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 2 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus beri kesedaran kepada pengendali makanan dalam menguatkuasa penggunaan pelitup muka.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata penguatkuasaan sejak 1 Januari lalu mendapat sambutan baik daripada pengusaha premis makanan, khususnya pemilik restoran.

“Pada masa ini, MBSA dalam proses untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada pengusaha premis makanan dan minuman berhubung pemakaian pelitup muka.

“Hal ini akan dipantau oleh Jabatan Pelesenan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA,” kata Shahrin Ahmad kepada Selangorkini, hari ini.

Menurutnya MBSA berharap semua pengusaha makanan di Shah Alam dapat memberi kerjasama dalam memastikan kebersihan dan keselamatan hidangan.

Bermula 1 Januari lalu, MBSA menguatkuasa penggunaan pelitup muka kepada pengendali makanan dan menjadikan pemakaiannya sebagai syarat baharu lesen perniagaan tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran di Selangor.

Menurut Amirudin, pendekatan itu dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :