Lembaga Urus Air Selangor menggunakan dron untuk memantau sumber air negeri ini.
AGENDANASIONAL

LUAS guna dron pantau empangan, kolam elak diceroboh

SHAH ALAM, 6 MAC: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan dron bagi mengawal 20 kolam takungan dan tujuh empangan seluruh negeri ini daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Agensi itu memaklumkan dron diterbangkan secara berkala di kawasan yang diwartakan sebagai zon perlindungan bagi mengenal pasti laluan tikus penceroboh.

“LUAS menjalankan pemantauan menggunakan dron minimum 28 kali setahun dengan empat kali (operasi) di setiap kolam dan empangan.

“Bagaimanapun pemantauan tambahan dibuat berdasarkan keperluan atau jika ada aduan dan isu,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, LUAS berkata kali terakhir dron diterbangkan di Empangan Sungai Tinggi, Hulu Selangor pada 18 Februari lalu dengan tiada pencerobohan dikesan.

Agensi terbabit turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang dikesan menceroboh kawasan zon perlindungan.

“Jika penceroboh dikesan, kita akan menyita barangan seperti bot, enjin dan khemah selain menutup laluan tikus dengan memasang tanda larangan.

“Sekiranya ada struktur haram dibina, Luas akan merobohkannya sebelum mengeluarkan notis, kompaun dan dibawa ke peringkat pendakwaan,” katanya.

LUAS mewartakan 20 kolam meliputi tasik dan belas lombong dan tujuh empangan di negeri ini sebagai zon perlindungan mengikut Seksyen 48, Enakmen Luas 1999.

Kolam dan empangan yang digazet perlu dipelihara serta dipulihara daripada sebarang bentuk gangguan supaya bagi menjamin kualiti dan kuantiti sebagai sumber air tambahan di Selangor.


Pengarang :