Persembahan nyanyian penyanyi 70-an A. Razak Ismail ketika Konsert Rentak Selangor: Nostalgia Lagu-Lagu 70an di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Konsert Rentak Selangor gamit nostalgia, pupuk anak muda hargai warisan

PETALING JAYA, 24 DIS: Konsert Rentak Selangor Nostalgia 1970-an membawa penonton menggamit kembali kenangan indah dan kegemilangan muzik tanah air.

EXCO kebudayaan berkata konsert yang bertema ‘Cinta Lahir Kembali’ juga merupakan usaha menghargai dan menghayati nilai-nilai seni buat generasi baharu khususnya.

“Ia juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada artis-artis hebat yang telah mewarnai muzik tanah air pada zaman keemasan itu.

EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah menari bersama penonton dan peserta ketika penutup Konsert Rentak Selangor: Nostalgia Lagu-Lagu 70an di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Rentak Selangor menjadi platform unik yang menghargai warisan seni dan budaya kita dengan menggalakkan pengunjung menyertai tema retro, memakai pakaian era 70-an,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konsert Rentak Selangor di Dewan Auditorium MBPJ, di sini malam tadi.

Borhan memaklumkan Rentak Selangor yang dianjurkan secara tahunan merupakan platform untuk mempromosikan dan mewarisi keindahan seni serta budaya.

Sorakan penonton memeriahkan Konsert Rentak Selangor: Nostalgia Lagu-Lagu 70an di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya yakin Rentak Selangor Nostalgia Lagu-Lagu 70-an ini akan memberikan dampak positif kepada industri seni negeri Selangor dan tanah air.

“Ia sekali gus memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai antara pusat seni dan kebudayaan,” katanya.

Konsert Rentak Selangor Nostalgia 1970-an menampilkan persembahan artis popular 1970-an seperti Datuk Hail Amir, A Razak Ismail, Junainah M Amin, Datin Effa Rizan dan J Mizan.

Selain itu, pelbagai acara menarik diadakan antaranya pertandingan peragaan Pakaian Tema Retro 70an, pertandingan nyanyian Lagu-Lagu Pilihan 70-an, pameran Nostalgia 70an dan jualan makanan.

Persembahan nyanyian lagu 70-an ketika Konsert Rentak Selangor: Nostalgia Lagu-Lagu 70an di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :