BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Helah nama al-Mahdi, Islam saran umat bersikap kritis

Ada dua rukun dunia iaitu harta dan kedudukan. Tujuan harta untuk memiliki barangan bermanfaat, manakala kedudukan untuk memiliki hati manusia, membolehkan seseorang diagungkan dan ditaati.

Itu kata Imam al-Ghazali dalam adikarya, Ihya Ulumuddin semasa membicarakan pangkat dan kedudukan.

Kalau orang kaya menggunakan kekayaan memenuhi keinginan diri, orang bertakhta di hati orang ramai pula boleh menggunakan pengikut sebagaimana yang dikehendaki.

Oleh itu, orang berkedudukan laksana tuan pemilik hamba. Namun, siapa lebih besar, pemilik hamba atau yang menakluk manusia?

Al-Ghazali menjawab, orang menakluk hati manusia lebih besar kerana orang ramai mentaatinya secara sukarela, sementara tuan pemilik hamba pula ditaati kerana terpaksa.

Terjawab sudah persoalan mengapa kedudukan menjadi buruan manusia. Kedudukan dimaksudkan tidak terbatas dengan jawatan rasmi, tetapi dalam konteks ini yang lebih utama ialah kedudukan di hati orang ramai walau seseorang itu tiada jawatan rasmi.

Malah, antara jawatan rasmi dan kedudukan di hati manusia walau tanpa jawatan, kedudukan di hati lebih besar pengaruhnya.

Orang berjawatan rasmi akan diabai setelah tidak berjawatan. Tetapi penakluk hati manusia akan sentiasa ditaati walau tiada jawatan rasmi.

Hal ini menjelaskan fenomena sesetengah susuk berpengaruh memiliki ramai pengikut. Lebih dahsyat, pengikut tidak diberikan ganjaran kebendaan, tetapi mereka pula berkorban harta dan nyawa demi susuk pujaannya.

Apa menyebabkan orang ramai terjebak menjadi pengikut setia kepada susuk tertentu?

Hati tidak boleh dibeli dan dimiliki sebagaimana barangan. Hati melihat kesempurnaan. Tidak semestinya kesempurnaan itu benar-benar berlaku, tetapi sekurang-kurangnya tampak sempurna.

Tambah al-Ghazali, semakin bertambah kepercayaan dengan kesempurnaan seseorang, semakin bertambah ketundukan hati manusia kepadanya.

Antara unsur memberi kesempurnaan seseorang ialah hal-hal keagamaan. Agama menyemarakkan perasaan pesimisme dan pada masa sama membangkitkan optimisme dalam diri seseorang.

Contohnya, perbahasan akhir zaman dalam Islam. Perbahasan ini boleh disalahfahami mahupun disalahguna untuk memperkukuh pesimisme dalam kalangan umat Islam.

Imam Mahdi

Untuk mengimbangi pesimisme dalam diri, maka watak pembangkit optimisme diperlukan. Umat yang ketakutan akan mencari penyelamat ataupun Imam Mahdi.

Atas sebab itulah, sejarah umat Islam menyaksikan ramai orang mendakwa dirinya Imam Mahdi.

Mendakwa diri Imam Mahdi ialah unsur agama menyebabkan orang berkenaan tampak sempurna di mata pengikutnya.

Kesempurnaan itu menyebabkan orang mengaku dirinya penyelamat boleh mengukuhkan kuasa dan menewaskan musuh.

Orang pertama memakai gelaran itu ialah al-Mahdi al-‘Abbasi, khalifah ketiga Bani ‘Abbasiyyah.

Menurut Imam Ibn ‘Ashur, tindakannya itu membuahkan hasil kerana pelantikannya sebagai khalifah menghentikan kelompok ‘Alawiyyun iaitu pesaing Bani ‘Abbasiyyah sejak akhir pemerintahan Bani Umayyah lagi.

Gelaran itu turut diperalat golongan yang menggulingkan sesebuah pemerintahan. Antaranya ‘Ubaydullah al-Mahdi yang menjatuhkan Dinasti Aghlabiyyah dan mendirikan Kerajaan Fatimiyyah.

Begitu juga gerakan Muwahhidun diketuai Ibn Tumart yang mendakwa dirinya al-Mahdi.

Selain nama-nama terkenal itu dalam sejarah Islam, zaman moden juga tidak kurang dengan orang mengaku sebagai al-Mahdi. Antaranya Mirza Ghulam Ahmad yang mengasaskan ajaran Qadiani.

Kes sama berlaku di negara kita apabila pemimpin gerakan al-Arqam Muhammad as-Suhaimi mendakwa dirinya Imam Mahdi.

Sikap kritis boleh menoktahkan gejala orang suka mendakwa diri mereka Imam Mahdi. Malah bersikap kritis sebenarnya intisari agama Islam.

Itulah makna tabayyun dalam surat al-Hujurat, ayat 6. Setiap dakwaan disemak tanpa terlalu mudah mempercayainya.

Lebih-lebih lagi jika segelintir orang berlebihan mengangkat personaliti luaran dan dakwaan keturunan berbanding keilmuan dan kajian.

Dalam menghadapi fenomena ketaasuban susuk ikutan, kita perlu membincangkan tentang tanggungjawab pengikut. Antara ciri pengikut yang baik ialah tahu bila masanya perlu kritis.

Sikap sedemikian diamal sahabat Rasulullah SAW. Dalam satu riwayat Imam Muslim, sekumpulan sahabat diarah Baginda untuk mentaati pemimpin kumpulan itu.

Salah guna

Namun, pemimpin itu menyalahgunakan kedudukannya, lalu menyuruh mereka agar masuk ke dalam unggun api atas dakwaan wajib ditaati.

Namun, sahabat enggan kerana Rasulullah SAW diutuskan untuk menyelamatkan mereka daripada neraka, bukannya masuk ke dalam api.

Apabila berita itu sampai kepada Nabi, baginda bersabda “Sekiranya mereka masuk ke dalam api itu, pasti mereka tidak akan keluar daripadanya.”

Maksudnya, ketaatan membuta tuli terhadap susuk yang ditaasubkan membawa kebinasaan. Nabi SAW sendiri menggalakkan sahabat bersikap kritis terhadap arahan yang membinasakan.

Penggunaan hadis akhir zaman untuk menyemarak pesimisme juga bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah sendiri.

Al-Quran menyebut tentang kiamat supaya manusia mengubah diri dan meningkatkan amalan kebajikan.

Al-Sunnah juga begitu, sebab itu Nabi SAW berpesan “jika terjadi kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia sempat menanamnya maka tanamlah.” (Riwayat Ahmad)

Justeru, penerimaan penyelamat bergelar Imam Mahdi juga bukan untuk kita menjadi pasif hingga sekadar menanti-nanti. Tapi, “jadilah” Mahdi dan “lahirkan” Mahdi. Kita sama-sama menegakkan keadilan dan kebaikan.

 


Pengarang :