AGENDANASIONAL

Anwar minta kerajaan jelaskan lagi maklumat kes Covid-19

SHAH ALAM, 15 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kerajaan Persekutuan memberi lebih penjelasan mengenai kadar jangkitan Covid-19 yang rendah berbanding Australia dan Kanada.

Sambil memuji Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi maklumat harian penularan virus berkenaan, ketua pembangkang berkata fakta itu harus nyata dan bukan disembunyikan.

“Jumlah jangkitan Covid-19 agak rendah dan membanggakan. Dari segi umum, peranan KKM terutama penjawat awam juga membanggakan. Kita juga nampak tindakan segera malah pengumuman harian beri rakyat lega, beri peringatan penjarakan sosial tapi kena tekankan adakah jumlah ini ‘real’ (benar)?

“Kalau bandingkan tiga negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih kurang sama, Malaysia, Australia dan Kanada. Keupayaan kita terlalu rendah (iaitu) hanya 0.18 peratus dari 1,000 orang. Australia 1.98 peratus manakala Kanada 1.03 peratus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meminta pakar KKM meneliti semula kaedah saringan serta alatan yang digunakan agar keputusan tepat.

“Saya tidak pakar tapi dari maklumat diterima, kajian kaedah ujian kita gunakan ada pertikaian berbanding digunakan di Sarawak jauh lebih berkesan,” kata beliau lagi.

Beliau mendakwa ada kes negatif ketika saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berdasarkan ujian tindak balas berantai polimerase transkripsi berbalik masa nyata (rRT-PCR) tetapi positif apabila pemeriksaan semula dibuat ketika mendarat Kuching, Sarawak.

Ahli parlimen Port Dickson turut merakam penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi pandemik itu.


Pengarang :