Reaksi sebahagian pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD asrama pekerja Top Glove pada 21 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Klang catat 326 kes baharu Covid-19, penyumbang kes tertinggi

SHAH ALAM, 21 NOV: Klang merekodkan 326 kes positif Covid-19, juga menjadi penyumbang terbesar kes baharu di Malaysia hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata daripada jumlah itu, mukim Kapar mencatatkan 296 kes sementara mukim Klang 30 kes.

Kluster Teratai dalam mukim Kapar menjadi penyumbang tertinggi kes positif iaitu 284, diikuti Kluster Perigi dalam mukim Klang iaitu 21 kes.

Bagi daerah lain, Petaling pula merekodkan 23 kes, diikuti Gombak (22), Hulu Langat (17), Kuala Langat (8), Kuala Selangor (5) dan Sepang dengan 1 kes.

Sementara itu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan punca peningkatan kes di negeri ini ialah majoritinya daripada kluster sedia ada.

“Sebanyak 346 kes dikesan dari kluster sedia ada, 17 kluster baharu iaitu Kluster Penjara Jalan Harapan, 19 akibat kontak rapat dan 20 lagi lain-lain,” katanya menerusi Twitter.

Hari ini Selangor menjadi negeri tertinggi bagi kes baharu Covid-19 dengan 402 kes, diikuti Sabah 346 kes dan Negeri Sembilan 121.


Pengarang :