Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Peruntukan kepada 703 sekolah akan disalur segera

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri akan mengagihkan segera peruntukan kepada sekolah yang memohon bantuan untuk tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menerima 703 permohonan iaitu 462 sekolah agama rakyat, 121 sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan 101 SJK Tamil.

Menurutnya, permohonan turut melibatkan 15 sekolah mubaligh dan empat sekolah menengah jenis kebangsaan.

“Program ini kita teruskan, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita sedang kumpul data-data ini dan selepas (sidang) dewan kita akan segera agihkan (peruntukan).

“Tahun ini formatnya sama iaitu kita akan bagi dalam satu pusingan sahaja,” katanya ketika menjawab soalan mulut wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Amirudin berkata bantuan itu selaras keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap sekolah-sekolah terbabit yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Sememangnya sekolah ini memerlukan bantuan dalam PKP kerana sebahagian pendapatannya diperoleh menerusi yuran, namun sedikit terganggu kerana sekolah tidak dapat dibuka,” katanya.


Pengarang :