Data peribadi dalam aplikasi MySejahtera selamat kerana dikawal selia sepenuhnya Majlis Keselamatan Negara (MKN). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ciri baharu MySejahtera mampu kesan penyakit berjangkit

SHAH ALAM, 10 MEI: Aplikasi MySejahtera kini boleh diguna bagi mengesan penularan penyakit berjangkit di mana-mana kawasan.

Menurut Kementerian Kesihatan, pengaktifan ciri terbaharu ‘Infectious Disease Tracker’ (pengesan penyakit berjangkit) itu membolehkan penyakit anjing gila (rabies), demam campak, denggi serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dikesan.

Penambahbaikan itu sekali gus membantu orang awam menjalankan aktiviti dan merancang perjalanan harian secara lebih berhati-hati selepas mengenal pasti kawasan berisiko.

“Semoga masyarakat menggunakan aplikasi ini dengan sebaiknya supaya kes penyakit berjangkit di Malaysia dapat ditangani dengan lebih baik,” tulisnya di bebenang Twitter hari ini.

Sebelum ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes Covid-19 akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker.

Beliau berkata lokasi berkenaan akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.


Pengarang :