Sebahagian mangsa banjir kilat yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Sri Gading, Batu Pahat, Johor pada 14 September 2022. Foto Facebook SMK Sri Gading
AGENDANASIONAL

Dua pusat pemindahan masih dibuka, mangsa banjir di Johor kekal 141

BATU PAHAT, 26 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor yang membabitkan hanya daerah ini kekal 141 orang daripada 37 keluarga setakat 8 pagi ini, sama sepertimana yang direkodkan malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan seramai 79 orang daripada 22 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Yong Peng manakala 62 orang daripada 15 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan.

“Antara kawasan yang masih terjejas banjir di Yong Peng iaitu Kampung Parit Lapis Bangas, Kampung Jalan Lama, Taman Melur, Kampung Parit Amil, Taman Desa Suria dan Taman Berlian.

Di Sri Medan pula melibatkan Parit Yusof, Parit Haji Ahmad, Parit Warijo, Parit Bangas, Parit Sendayun dan Parit Seri Pasir,” menurut JPBN dalam kenyataannya, hari ini.

JPBN turut memaklumkan Sungai Bekok di Empangan Bekok masih berada di paras amaran dengan bacaan 18.93 meter (m) manakala Sungai Sembrong di Empangan Sembrong berada di paras waspada dengan bacaan 10.67m.

Cuaca di kesemua 10 daerah di negeri ini dilaporkan cerah pada pagi ini.

– BERNAMA


Pengarang :