Pembuat ketupat palas goreng, Salmiah Ismail, 43, sibuk menyiapkan ketupat untuk dihantar kepada pelanggannya ketika ditemui di Kampung Sri Kulim Melor , pada 10 Ogos lalu.–fotoBERNAMA
BUDAYARENCANA

‘Ketupat Bachok’ berkelana ke UK, NZ dan Mesir

KOTA BHARU, 13 OGOS: Pernahkah anda mencuba ‘Ketupat Bachok’ iaitu ketupat palas goreng hasil air tangan Salmiah Ismail, yang telah berkelana ke United Kingdom, New Zealand dan Mesir?

Salmiah, 43, yang berpengalaman hampir 20 tahun membuat dan membungkus ketupat berkata, beliau pernah mendapat permintaan bukan sahaja semasa musim perayaan, malah tempahan khas daripada individu sebagai buah tangan untuk anak-anak mereka yang berada di luar negara.

“Ada suami isteri tempah khas untuk anak-anaknya yang tinggal United Kingdom, New Zealand dan Mesir. Katanya ketupat goreng ini tahan hingga dua minggu di sana.

“Biasanya, ketupat daun palas dibuat secara rebus atau kukus tetapi yang kami buat ini adalah ketupat goreng yang mendapat permintaan tinggi sehingga lebih 5,000 biji pada Aidilfitri baru-baru ini dan hampir 3,000 untuk Aidiladha,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Sri Kulim Melor, di sini, baru-baru ini.

Salmiah berkata, ketupat itu digoreng selepas melalui proses penyejukan setelah diangkat daripada kukusan.

“Setelah ketupat palas disejukkan, ia akan digoreng dengan menggunakan minyak yang banyak antara lima hingga 10 minit sehingga bahagian luar ketupat rangup namun masih lembut di bahagian dalam,” katanya.

Kerja Salmiah menjadi mudah kerana dibantu suaminya, Mohd Faris Ab Rahman, 47, yang menggaul (arong) pulut yang telah siap dikukus bersama santan dan gula.

Salmiah berkata, kerja menggaul pulut perlu menggunakan tenaga yang kuat dan dikukus sekurang-kurangnya dua kali atau lebih selain tempoh mengukus kira-kira satu jam bagi setiap kukusan.

Salmiah bermula dengan mengambil upah membungkus ketupat bersama ibu mentuanya, Mariam Jaafar, 64, atau dikenali sebagai ‘Mok Jah’ di Kampung Kubang Golok Bachok sejak dua dekad lepas.

“Nama ketupat goreng ini orang panggil juga ‘Ketupat Bachok’. Kebetulan saya selalu bantu arwah ibu, Zabidah Ismail buat ketupat ketika remaja, manakala ibu mentua pula pandai buat ketupat pulut, setelah beberapa tahun ambil upah bungkus dan berpindah ke Melor, jadi saya buat sendiri di sini.

Salmiah berkata, uniknya terdapat dua jenis ketupat daun palas iaitu ‘ketupat jantan’ dan ‘ketupat betina’.

“Kepakaran kami ialah bungkus ketupat betina yang bentuknya kemas dengan sekali ‘pusing’ (lipat) semasa membungkusnya manakala ketupat jantan pula kita sering jumpa kerana lebih mudah dibuat iaitu hanya dua kali pusing daun palasnya,” kata beliau.

Beliau berkata apa yang membezakan ketupat daun palasnya dengan yang dijual di pasar, adalah rasanya lebih lembut, enak kerana digoreng, saiz lebih besar, tidak mudah basi dan boleh dibuat sejuk beku.

“Cara pembuatan yang teliti iaitu membasuh beras pulut berbelas kali sehingga air basuhan menjadi cerah, mengukusnya dalam tempoh yang lama dan penggunaan santan segar sangat dititikberatkan semasa menyediakan ketupat daun palas.

“Harga ketupat ini dikira masih murah iaitu RM1 hingga RM1.30 sebiji dengan inti serunding, kacang atau perisa biasa seperti lemak dan tawar berbanding di tempat lain yang sudah mencecah harga RM1.60 sebiji,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :