Bekas Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Monggoh Orow. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bekas Ahli Parlimen Tuaran meninggal dunia

TUARAN, 23 DIS: Bekas Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Monggoh Orow, 73, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, petang semalam kerana sakit tua.

Mayat mendiang akan dibawa pulang ke Kampung Tagai, dekat sini, sebelum dibawa ke Fook Lu Siew Funeral Parlour hari ini. Mayat mendiang akan dibakar pada 24 Disember jam 10 pagi.

Mendiang meninggalkan seorang isteri Datin Zoy Orow dan dua orang anak.

Monggoh, yang merupakan Ahli Parlimen Tuaran dari 1990 hingga 1994, adalah anak kelahiran Tuaran. Mediang juga Presiden Pertubuhan Pelestarian Bahasa Lotud Sabah, selain aktif sebagai ahli Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Dalam pertubuhan pelestarian bahasa Lotud pula, Monggoh bergiat sepenuh masa membuat penyelidikan dan pendokumentasian bahasa ibundanya sehingga berjaya menerbitkan Hatod Suang Lotud dalam bentuk kamus.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau dalam kenyataan menyampaikan takziah kepada keluarga Monggoh dan berharap mereka akan terus tabah untuk menghadapi saat yang sukar ini.

“Ingatan dan doa saya untuk keluarganya, terutama ketika ini yang sepatutnya adalah masa untuk kegembiraan.

“Doa saya yang tulus untuk mendiang yang banyak memberikan saya bimbingan dan pengalaman yang amat saya hargai,” katanya dan menambah Monggoh akan dikenang kerana kepimpinan dan visinya bagi Tuaran.

– BERNAMA


Pengarang :