Jururawat dan pekerja kesihatan menghadiri perhimpunan ‘Black Lives Matter’ di hadapan Hospital Bellevue, New York pada 4 Jun 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia terlibat rusuhan di AS

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Wisma Putra hari ini mengesahkan tiada laporan atau pemberitahuan rasmi diterima atas pembabitan rakyat Malaysia dalam siri rusuhan ganas di lebih 70 bandar di seluruh Amerika Syarikat (AS), berikutan kematian George Floyd pada 25 Mei.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata secara amnya, rakyat Malaysia dilaporkan selamat dan jauh daripada bahaya dan disarankan untuk terus mematuhi arahan keselamatan, termasuk perintah berkurung yang dikenakan pihak berkuasa tempatan AS dan berwaspada dalam memastikan keselamatan mereka.

“Perwakilan Malaysia di Washington D.C, New York dan Los Angeles memantau situasi ini dan sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat untuk berkongsi maklumat dan mendapatkan perkembangan terkini di lapangan.

“Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular disarankan untuk menghubungi Perwakilan Malaysia di lokasi di atas dan terus tenang dengan sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui berita tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengenai rusuhan di AS, beliau berkata sebarang pendekatan yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kehilangan harta benda serta perniagaan pasti tidak memberi manfaat kepada sesiapa.

“Selain itu tidak mematuhi norma baharu dalam jarakan sosial dan perhimpunan besar sangat membimbangkan, terutama ketika dunia memfokuskan usaha untuk memerangi penularan pandemik Covid-19.

“Malaysia berharap krisis rusuhan ini akan ditangani dengan cekap dalam cara yang aman dan mendesak semua pihak menggunakan pendekatan dialog untuk mencari penyelesaian yang berkekalan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :