Penduduk Kampung Melayu Seri Kundang menyemak isi kandungan surat tawaran milikan tanah pada Majlis Penyampaian Notis 5A di Dewan Majlis Perbandaran Selayang, Rawang pada 20 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesara lega dapat tawaran milikan tanah sebelum pejam mata

RAWANG, 20 MAC: Penantian selama 40 tahun seorang pesara polis untuk mendapat hak milik tanah hampir tercapai selepas menerima tawaran Kerajaan Negeri.

Mohd Mazlan Adam, 68, antara 105 penduduk Kampung Melayu Seri Kundang yang menerima surat Notis 5A, meneroka tanah berkenaan pada 1981 dan memohon pemilikan selepas beberapa tahun.

Mohd Mazlan Adam

“Memang agak lama tunggu surat tawaran tetapi saya berkeyakinan penuh terhadap Kerajaan Negeri. Sekarang saya amat lega kerana dapat tawaran sebelum meninggalkan dunia ini selama-lamanya.

“Malah, saya gembira kerana anak-anak tidak akan kelam-kabut menyelesaikan masalah ini jika saya sudah tiada,” katanya kepada SelangorKini.

Seorang lagi penerima, Rabonah Mat, 62, sebak mengenangkan kegigihan arwah suaminya mendapatkan hak milik tanah tersebut puluhan tahun lalu.

“Bila dapat surat daripada Dato’ Menteri Besar, saya terbayang-bayang kegigihan suami yang betul-betul mahu tanah didiami ini sah di sisi undang-undang.

Rabonah Mat

“Berkali-kali arwah ingatkan supaya jaga harta ini. Saya sebak kerana dia tidak dapat lihat kejayaan ini tetapi pada masa sama sangat gembira,” kata balu kepada enam orang anak itu.

Perasaan gembira turut dikongsi warga emas berusia 75 tahun, Melor Embon yang tidak menyangka namanya tersenarai sebagai penerima tawaran hak milik tanah pada tahun ini.

“Makcik tidak sangka hingga tidak boleh tidur malam. Memang agak lama tunggu, dari sihat hingga berkerusi roda tetapi tetap berterima kasih kepada yang membantu,” katanya.

Tawaran kepada penduduk Kampung Melayu Seri Kundang diluluskan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak meliputi keluasan antara 196 hingga 849 meter persegi.

Serahan Notis 5A oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari adalah kali ketiga selepas tahun 1999 dan 2010 membabitkan lebih 300 penduduk.

 


Pengarang :