Peserta membuat pendaftaran ketika program Selangor Saring DUN Dusun Tua di Dewan Komuniti Kampung Batu 9, Hulu Langat pada 26 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Usia muda tidak halang pelajar jalani pemeriksaan, siap sedia sambung pengajian 

HULU LANGAT, 26 JUN: Usia muda tidak menjadi penghalang seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalani pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri, hari ini.

Mohd Izz Zikry Hakimi Mohd Rashdy, 18, berkata walaupun usianya masih muda ia belum menjamin seseorang itu memiliki tahap kesihatan yang baik.

Mohammad Izz Zikry Hakimi Mohd Rashdy

“Kita tak tahu kalau tidak periksa, mungkin ada penyakit yang boleh mengancam nyawa sebab itu saya datang hari ini.

“Selain saya juga dalam proses menyambung pengajian jadi lebih baik lakukan pemeriksaan dari awal dan tahu tahap kesihatan diri sebagai persediaan,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas mengakui dapat berjimat RM300 menerusi program Selangor Saring.

Raihan Abdullah, 62, berkata sebelum ini beliau melakukan saringan kesihatan di klinik swasta setiap enam bulan dan mengakui Selangor Saring dapat membantunya dan lebih ramai orang untuk berjimat.

“Setiap kali buat saringan saya perlu bayar RM300 itu pun bukan secara menyeluruh, kalau buat semua macam di Selangor Saring ini paling kurang RM500 jadi rugi siapa tak datang untuk buat saringan.

“Jika kereta kita selenggara setiap 5,000 ke 10,000 kilometer sekali, jadi badan kita juga kena begitu perlu disaring dalam tempoh tertentu,” katanya kepada Selangorkini ketika ditemui pada program di Dewan Komuniti Kampung Batu 9 di sini.

Bagi suri rumah, Josephine, 37, notifikasi di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) membuatkan dia tahu mengenai program ini.

Josephine

“Sebaik sahaja dapat tahu saya terus daftar sebab saya ada masalah batu karang dan saya nak tahu status diri.

“Saya bimbang ada masalah lain dengan tiada bayaran dikenakan adalah rugi jika tidak diambil peluang,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :