EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han (empat, kanan) melawat pameran selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia Shah Alam/Kuala Selangor di Central i-City, Shah Alam pada 12 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MAPEX 2022 bantu rakyat Selangor miliki rumah impian

SHAH ALAM, 12 OGOS: Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Shah Alam/Kuala Selangor 2022 memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk memiliki rumah impian kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata penganjuran ekspo itu juga sejajar dengan aspirasi dan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat mendiami kediaman yang selesa.

“MAPEX yang berlangsung di Central i-City menawarkan pelbagai jenis kediaman mampu milik kepada pengunjung, malah orang ramai boleh mengetahui projek yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di ruang pameran yang disediakan.

“Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai kediaman yang mereka minati selain mengetahui lokasi pembinaan. Kita yakin ada projek yang sesuai kerana hasrat Kerajaan Negeri membantu rakyat memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan MAPEX Shah Alam/ Kuala Selangor 2022 yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Selangor Datuk Zaini Yusoff.

MAPEX Shah Alam/Kuala Selangor 2022 anjuran Rehda Selangor itu berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam melibatkan 17 pempamer.

Antara agensi Kerajaan Negeri yang terlibat dalam pameran adalah LPHS dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


Pengarang :