AGENDANASIONAL

Polis rampas dadah RM10.89 juta, tahan dua suspek

SHAH ALAM, 29 OGOS: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah seberat 363.03 kilogram (kg) bernilai RM10.89 juta selepas menahan dua lelaki tempatan di sekitar Kampung Baru, Ampang dekat sini pada 20 Ogos lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata bertindak atas risikan selama sebulan, polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan itu pada 5.20 petang.

Arjunaidi berkata hasil serbuan itu, pihaknya merampas 349 bungkusan plastik kekuningan dengan tulisan Quanyinwang disyaki mengandungi syabu seberat 363.03kg.

“Lanjutan daripada tangkapan dan rampasan itu, pihak kami menahan seorang lagi suspek berusia 51 tahun di lokasi berhampiran,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Arjunaidi berkata dipercayai kedua-dua lelaki tersebut bertindak sebagai transporter serta pemantau bagi dadah yang akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan kawasan berhampiran.

Beliau berkata pihaknya juga telah menyita aset sindiket berkenaan bernilai RM101,373 melibatkan dua buah kereta serta wang tunai berjumlah RM1,373.

Katanya, kedua-dua suspek direman bermula 21 Ogos hingga 2 September depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas mengenai kes seorang remaja lelaki yang meninggal dunia dalam insiden kebakaran tandas awam terbiar di Saujana Utama, semalam, Arjunaidi berkata kedua-dua rakan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

Arjunaidi berkata pihaknya telah menukar siasatan ke atas remaja berusia 15 dan 16 tahun itu daripada kematian mengejut (SDR) kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua remaja itu negatif. Punca kematian kita masih tunggu dan sudah dihantar kepada unit patalogi,” katanya.

Gara-gara ingin bergurau dengan rakan membawa padah apabila seorang remaja lelaki ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam semalam.

Sementara itu, berhubung kes bunuh individu di tepi Jalan Bawal Tambak, Taman Sri Gadong, Klang minggu lepas, Arjunaidi berkata mangsa yang ditembak dengan lapan das tembakan itu mempunyai rekod lampau berkaitan kegiatan kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong sebelum ini memaklumkan siasatan mendapati mangsa yang berusia 41 tahun itu mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk kes jenayah berat melibatkan culik.

-BERNAMA


Pengarang :