Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Pesta Tanglung DUN Kajang 2022 di Taman Rekreasi Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat pada 4 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor rekod rizab simpanan lebih RM3.4 bilion, tertinggi sejak 2012

HULU LANGAT, 5 SEPT: Selangor merekodkan rizab simpanan tertinggi berjumlah lebih RM3.4 bilion pada Ogos lalu tertinggi sejak 2012, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu meningkat RM1.3 bilion berbanding hanya RM2.1 bilion ketika beliau mula menjadi Dato’ Menteri Besar.

“Pada 2018 ketika mula melangkah masuk ke pejabat rizab kita sekitar RM2.1 bilion dengan jumlah itu kita teruskan pentadbiran dengan pelbagai pelaksanaan dan cabaran ketika berdepan bencana.

“Kita belanja pelbagai untuk rakyat seperti vaksin, untuk program Iltizam Selangor Penyayang dan rizab kita tetap tinggi dari RM2.1 bilion sekarang rizab kita lebih RM3.4 bilion, malahan ini yang tertinggi sejak 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pesta Tanglung Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Taman Rekreasi Bandar Mahkota di sini, malam tadi.

Pada Jun lalu, beliau berkata rizab Selangor masih berada pada tahap yang selesa iaitu lebih RM3 bilion walaupun Kerajaan Negeri menggunakannya bagi menjayakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat.

Amirudin berkata prestasi itu sama seperti kepimpinan Dato’ Menteri Besar sebelum-sebelum ini walaupun Selangor berdepan dengan pelbagai krisis seperti Covid-19 dan banjir besar.


Pengarang :