Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal kren bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Indah pada 6 Disember 2022. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDA NASIONAL

Bersauh tanpa kebenaran, kapal kren ditahan di Pulau Indah

SHAH ALAM, 7 DIS: Sebuah kapal kren yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Indah, Pelabuhan Klang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.

Pengarah Maritim Selangor dalam kenyataan mengesahkan penahanan itu sekitar 1.30 petang hasil rutin rondaan Op Ehsan dan Op Benteng Laut oleh Jabatan Laut Wilayah Tengah.

Menurut Kapten V Siva Kumar, tiga kru warga asing yang ditahan atas kapal kren tertera nama Awana Salvage turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ketika pemeriksaan awal, kapten tidak berada atas kapal. Pasukan operasi menemukan tiga kru warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina dalam lingkunan 34 hingga 49 tahun.

“Hasil pemeriksaan dokumen mendapati semua kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada penguat kuasa termasuk dokumen kebenaran bersauh,” katanya di Facebook.

Siva Kumar berkata mereka disyaki melanggar peraturan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran.

Jelasnya, perintah penahanan ke atas kapal terbabit dikeluarkan dan seorang penyelia serta seorang kru dibawa ke ibu pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

 


Pengarang :