Hantaran dimuat naik majalah Time yang mengumumkan Tan Sri Michelle Yeoh sebagai Ikon Tahun 2022 bagi mengiktiraf sumbangan besarnya dalam industri perfileman. Foto Instagram Time
AGENDANASIONAL

Michelle Yeoh diiktiraf Ikon Tahun 2022 majalah Time

SHAH ALAM, 7 DIS: Bintang Hollywood kelahiran Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh diumum sebagai Ikon Tahun 2022 oleh majalah antarabangsa Time bagi mengiktiraf sumbangannya dalam perfileman.

Majalah terkemuka itu melalui Instagram memaklumkan pemilihan pelakon berusia 60 tahun dari Ipoh, Perak atas pencapaian cemerlangnya, yang dianggap bintang paling berpengaruh di Asia.

Time turut memperakui penglibatan Yeoh sebagai kuasa besar dalam rangkaian filem aksi Hong Kong, yang memperlihat keberanian aktres tersebut melakukan lagak ngeri.

Menurut hantaran itu, Yeoh pertama kali muncul dalam filem terbitan Hollywood melalui James Bond Tomorrow Never Dies pada 1997 selain Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Crazy Rich Asians.

“Filem Everything Everywhere All at Once, yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia, meletakkan bintang itu dalam senarai pelakon nombor satu Hollywood.

“Detik ini sudah lama dinantikan Yeoh, menjadikan namanya disebut ramai dan ramai percaya beliau boleh memenangi Oscar melalui filem “indie” tersebut,” menurut Time.

Yeoh juga merupakan selebriti Asia pertama menerima ijazah kehormat doktor falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Karier seni Yeoh bermula selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World ketika berusia 20 tahun pada 1983 dan mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1983 di London, United Kingdom.

Pernah membintangi lebih 70 filem sejak empat dekad lalu, antara filem pecah panggung dibintangi Yeoh ialah Memoirs of a Geisha, Reign of Assassins dan Kung Fu Panda 2.


Pengarang :