AGENDAJENAYAH

Pekerja kuari maut dihempap bongkah batu 10 tan

IPOH, 28 MEI: Pemandu jengkaut ditemukan maut selepas dipercayai dihempap bongkah batu seberat 10 tan di sebuah kawasan kuari dekat Simpang Pulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kejadian berlaku antara 12 hingga 1 tengah hari itu dipercayai ketika mangsa lelaki berusia 48 tahun berasal dari Gerik, Perak sedang menjalankan kerja pembersihan batu di dalam kawasan kuari.

Beliau berkata ketika bekerja, sebuah bongkah seberat 10 tan dari ketinggian 25 meter jatuh dan terus menghempap kokpit mangsa menyebabkan mangsa tersepit dalam kokpit jentera berat berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan selepas kerja mengeluarkan batu kuari itu dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 6.45 petang,” katanya.

Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

– BERNAMA


Pengarang :