Buku biografi karya Martin Lings berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto Facebook IBDE
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buku riwayat Rasulullah terus dapat sambutan, 20,000 naskhah terjual

SHAH ALAM, 2 OKT: Buku berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terus mendapat permintaan ramai apabila 700 naskhah terjual sepanjang sambutan Maulidur Rasul minggu lepas.

Pengurus jualan dan pemasaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) berkata pembelian itu dicatatkan dalam tempoh lima hari dari 25 hingga 29 September, dengan nilai jualan dianggarkan RM50,000.

“Karya terjemahan Martin Lings ini mendapat permintaan luar biasa hingga kehabisan stok. Seramai 500 pembeli terawal juga dihadiahkan poster salasilah Nabi Muhammad SAW yang menjadi salah satu tarikan pembaca,” kata Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman kepada Selangorkini.

Beliau berkata buku yang memasuki cetakan keenam itu terjual kira-kira 20,000 naskhah setakat ini dan 5,000 naskhah lagi akan dicetak bagi memenuhi permintaan pembaca.

“IBDE turut memperluaskan strategi pemasaran kepada platform baharu iaitu Tiktok Shop bagi mempromosi buku dengan kandungan ilmiah dan hasilnya sangat memberangsangkan,” katanya.

Buku Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources masyhur sejak pertama kali diterbitkan pada 1983.

Dianggap biografi terbaik Rasulullah SAW, buku itu diterjemah ke pelbagai bahasa antaranya Perancis, Itali, Sepanyol, Turki dan Belanda.

Karya Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin itu turut meraih pengiktirafan peringkat antarabangsa antaranya anugerah Persidangan Sirah Kebangsaan Pakistan dan anugerah daripada Presiden Mesir Hosni Mubarak.


Pengarang :