BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA kumpul lebihan juadah di tiga bazar, agih kepada golongan memerlukan

SHAH ALAM, 15 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan program mengumpul lebihan makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan untuk diagih kepada golongan memerlukan.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan program itu dianjurkan sepanjang Isnin hingga Jumaat bermula semalam sehingga 3 April depan.

Jelasnya, program MBSA MySave Food @ Bazar Ramadan bagi tahun ini membabitkan tiga bazar iaitu di Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.

“Peniaga bazar di lokasi yang terlibat boleh menghantar lebihan makanan yang tidak habis dijual ke khemah MBSA MySave Food yang disediakan.

“Makanan yang diberikan akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

MBSA menganjurkan program MySave Food @ Bazar Ramadan sejak tahun lalu bagi mengelakkan berlakunya pembaziran makanan di bazar Ramadan.

Bagi tahun lalu, MBSA mengumpul 2,958.6 kg lebihan makanan dan minuman sepanjang 14 hari penganjuran program.


Pengarang :