Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir melakukan gimik perasmian sempena majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) oleh KDEBWM di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC), Sepang pada 25 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pusat kitar semula pandu lalu automatik jimatkan kos urus sampah MPSepang

SEPANG, 25 MAC: Pengoperasian Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) di Cyberjaya mampu menjimatkan kos pengurusan sampah Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sebanyak RM500,000 tahun ini.

Yang Dipertuanya berkata penjanaan sisa pepejal di daerah Sepang menunjukkan peningkatan yang signifikan setiap tahun mengikut pertambahan penduduk, kepesatan ekonomi dan urbanisasi perbandaran.

Dato’ Abd Hamid Hussain memaklumkan MPSepang membelanjakan RM4.8 juta untuk menguruskan 129,843 tan sisa pepejal tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain berucap sempena majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) oleh KDEBWM di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC), Sepang pada 25 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Janaan sisa pepejal 2023 meningkat 5.8 peratus banding 2022 dengan 122,633 tan dan 2021 pula merekodkan 116,595 tan.

“Diharap pembangunan ADTreC mampu menjimatkan kos tahun lalu sebanyak 10 peratus sebanyak RM500,000. Angka setengah juta ini amat bermakna yang boleh digunakan untuk pembangunan lain seperti penanaman pokok, baiki kemudahan jalan dan membina taman permainan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran ADTReC di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC) di sini hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain melakukan imbasan kod QR sambil disaksikan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir ketika majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) oleh KDEBWM di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC), Sepang pada 25 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya dengan kerjasama Bumi Waste Management Sdn Bhd menyasarkan pembangunan ATDReC ke seluruh negeri secara berperingkat.

“KDEBWM berharap setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai lima kemudahan ADTReC menjadikan jumlah 60 di seluruh Selangor.

“Pelancaran di Sepang hari ini merupakan perintis bagi membina lebih banyak kemudahan ini di negeri pada masa akan datang,” katanya.

 


Pengarang :