Ahli KEADILAN menghadiri Konvensyen 25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 21 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN lancar gerak kerja PRU16, kukuh akar umbi hingga ke atas

SHAH ALAM, 21 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) melancarkan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya umum ke-16 (PRU16) bermula hari ini.

Timbalan presidennya berkata persiapan PRU16 dimulakan dua tahun lebih awal bagi mengukuhkan kekuatan akar umbi hingga ke atas selain memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai perdana menteri.

“Sebab itu konvensyen ini agak berbeza dari parti lain. Kalau orang lain, ulang tahun Jubli Perak adalah sebuah keraian tetapi kita bagi ole-ole senarai gerak kerja bermula hari ini.

“Persediaan pilihan raya KEADILAN akan bermula hari ini. Kita tiada masa yang panjang,” kata Rafizi Ramli ketika berucap di Konvensyen KEADILAN ke-25 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata parti meluncurkan dua rangka kerja baharu iaitu KEADILAN Menang 16 (KEMAS16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 (POP25) bagi menghadapi PRU16.

Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berucap sempena Konvensyen 25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 21 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jelasnya, dua pelan berkenaan akan mengubah KEADILAN tidak hanya sebagai parti politik semata-mata tetapi sebagai organisasi khidmat sosial dan kebajikan berorientasi perusahaan sosial.

“20 tahun lalu, kita ada pelbagai kemahiran seperti demonstrasi, kemahiran berceramah dan kemahiran menggunakan media alternatif. Ini kekuatan yang kita bina dan sekarang digunakan pihak lawan.

“Sebab itu parti akan melancarkan dua kerangka baharu. Kedua-duanya bertujuan untuk kita kukuhkan kembali kekuatan dari akar umbi sehingga ke atas,” katanya.

Ahli parlimen Pandan itu menyifatkan hubungan setiap ahli dalam KEADILAN seperti sebuah keluarga besar yang wujud sejak 25 tahun lalu.

Menurutnya KEADILAN adalah lebih besar daripada hanya sebuah parti politik semata-mata dan perkara itu merupakan kekuatan parti dalam menghadapi setiap cabaran.

“Saya yakin sebahagian besar daripada kita, satu motivasi untuk kita kekal dalam parti kerana ahli parti adalah rakan dan keluarga. Inilah kekuatan kita kerana kita melangkaui sebagai parti politik yang mencari kuasa,” katanya.

Nisa Suhaimi 25 menunjukkan risalah KEADILAN Menang 16 (KEMAS16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 (POP25) sempena Konvensyen 25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 21 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :