SHAH ALAM, 30 OKT: Inisiatif pendigitalan operasi (Digital Goverment Approval) diperkenal bagi mengurangkan tempoh penghantaran dokumen pindah milik dan pemulihan data.
Dato’ Menteri Besar berkata strategi di bawah Kerajaan Pintar melibatkan urusan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dengan peruntukan RM2 juta.
“Susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan, semua urusan kaunter PTGS dihentikan selama hampir dua bulan dan pelanggan hanya dibenar membuat bayaran secara dalam talian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.
Beliau berkata PTGS turut memperkenal mekanisme penyerahan dokumen secara “dropbox” dan bayaran melalui draf bank bagi mengatasi isu kesesakan di kaunter.
Amirudin menjelaskan pada 27 Julai, PTGS memperkenalkan “smartbox” untuk pembayaran dalam talian oleh individu atau firma guaman berdaftar.
Pelanggan hanya perlu masuk ke dalam Portal Smartbox yang dibangunkan oleh PTGS dan semua bayaran dibuat di dalam portal berkenaan.
“Sehingga 24 Ogos, “Smartbox” mencatat kutipan RM2.8 juta bersamaan lebih 12,000 transaksi, satu angka yang belum pernah dicapai melalui sistem bayaran di kaunter,” kata beliau lagi.