GLOBAL

Perang Syria: Puluhan maut, ribuan lari dari Timur Ghouta

ADRA 17 MAC: Puluhan orang awam terbunuh dalam serangan udara di Timur Ghouta semalam, memaksa ribuan lain melarikan diri ketika tentera rejim Syria meningkatkan serangan ke atas kubu kuat terakhir pemberontak berhampiran Damsyik.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kematian dalam tempoh hampir sebulan serangan kepada 1,364 orang, dengan kuasa dunia masih gagal menghentikan satu daripada krisis paling dahsyat konflik terbabit.

Perang Syria memasuki tahun kelapan dengan satu lagi siri serangan maut berlaku di utara di mana tentera diketuai Turki melancarkan operasi merampas rantau majoriti Kurdis di Afrin.

Operasi itu menyebabkan ribuan penduduk memenuhi jalanan, dengan pengeboman di Afrin membunuh 43 orang awam, satu pertiga daripadanya maut ketika serangan ke atas sebuah hospital.

Sementara itu, di pinggir Ghouta, kawasan separa pedalaman berselerak dalam jarak serangan mortar di tengah Damsyik, lebih 2,400 orang awam keluar dari bandar musnah, membawa bersama barangan.

Orang ramai memenuhi sebuah pusat kerajaan di pinggir Timur Ghouta semalam, tidak pasti tindakan seterusnya selepas bertembung pasukan bersenjata yang selama berminggu menyerang kediaman mereka tanpa henti.

“Kami takut untuk beredar, mereka memberitahu tentera akan menangkap kami. Kini kami pada asasnya tinggal dalam sebuah kem,” kata seorang pelarian, Abu Khaled, 35, pemilik kedai bajur di Ghouta.

Wakil Syria ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Bashar al-Jaafari berkata, 40,000 orang lari dari Ghouta Khamis lalu dan perpindahan besar-besaran secara tiba-tiba menyebabkan kerajaan tidak bersedia.

Barisan panjang terbentuk di luar bilik mandi awam dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal mengadu kekurangan air atau tilam

Tentera rejim dalam mesej disiarkan di televisyen tempatan menggesa semua penduduk menggunakan ‘koridor’ diwujudkan untuk meninggalkan wilayah terkepung itu, mengatakan ia menawan 70 peratus daripada jajahan pemberontak itu.

SUMBER: AFP/ GAMBAR: CNN NEWS


Pengarang :