Selangorkini
NASIONAL

MOT jamin kakitangan tetap SPAD dikekalkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MEI: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberikan jaminan bahawa tiada seorang kakitangan tetap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan kehilangan jawatan mereka walaupun Kerajaan Persekutuan sudah mengumumkan pembubaran agensi itu.

Menurutnya, operasi SPAD akan berjalan seperti biasa di bawah seliaan Kementeri Pengangkutan (MOT).

“Saya juga ingin menegaskan bahawa segala operasi SPAD akan berjalan seperti biasa, namun kini ianya diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan.

“Sebarang maklumat terkini berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran SPAD selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Bangunan Perdana Putra pada 23 Mei lalu.

Katanya, langkah itu diambil kerana pentadbiran baru negara ingin memastikan agensi atau jabatan yang tidak relevan tidak akan membebankan kerajaan semasa.

Turut akan dibubarkan adalah Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

=EZY=


Pengarang :