SELANGOR

Belia impi peluang pekerjaan era Malaysia baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 OGOS: Mendepani era Malaysia baharu kini, kebolehpasaran peluang pekerjaan dan mutu hidup setaraf negara maju antara aspirasi popular yang diidamkan, khususnya golongan belia.

Tinjauan SelangorKini mendapati, rata-rata daripada mereka menanam azam untuk memiliki pekerjaan berpendapatan tinggi setaraf dengan bidang diceburi.

Bagi pelajar tahun akhir kursus Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat, Amir Aizat Jafree, 25, menyifatkan setiap dasar dan agenda direncana kerajaan kini diharap memberi manfaat kepada belia.

“Saya yakin dengan Malaysia baharu, ia bakal menampilkan perubahan baru, terutama dari aspek peluang pekerjaan.

“Belia wajar diberi peluang ini kerana banyak lagi idea terbaharu yang berbeza dapat diterapkan daripada setiap bidang yang dipelajari.

“Seperti dapat dilihat fenomena sekarang ini, ramai belia terutama graduan, sejurus tamat pengajian di universiti mula menganggur tanpa melakukan sebarang kerja,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, bagi Shafieza Natasha Binti Suriya, 21, optimis dengan peralihan kerajaan yang mampu memberi hasil positif terhadap nasib belia yang sukar mendapat pekerjaan.

“Saya berpandangan kami sebagai pelajar dan bakal bergelar graduan diberi medium untuk bekerja.

“Jika diberi peluang pekerjaan setelah sekian lama menganggur, kami ditawarkan gaji yang setaraf. Contohnya, gaji lepasan kedoktoran di sektor awam mahupun swasta diberi sama rata.

“Walaupun di sektor berlainan tetapi suasana kerja itu sama,” katanya.


Pengarang :