BUDAYARENCANA

Sumpah sesumpah

Oleh Abang Median Abang Said

 

KHABAR  yang saya bawa pasti akan menggemparkan dan melemparkan Aku dalam gentar dan gusar. Aku pasti akan dipanah gundah dan resah. Masa lampau seolah-olah berulang membuktikan bahawa manusia tidak pernah belajar daripada sejarah.

Saya akan cuba menceritakan semua ini dengan bahasa yang mudah. Akuan bersumpah mahupun sumpah laknat perlu diucapkan dengan bahasa yang relatifnya mudah biarpun sukar untuk dimengerti. Jikalau bahasa saya menjadi kian rumit, jangan segan untuk mengingatkan saya.

Saya mengalami metamorfosis sehingga menjadi lelaki yang tampan. Sebenarnya saya ialah sesumpah. Ramai yang membuat justifikasi yang kesasar. Saya tidak pernah berubah wajah oleh rasa takut. Saya tidak perlu menukar mimik wajah untuk melepaskan diri daripada kepungan musuh. Musuh dan manusia tidak boleh terpisah. Semua mempunyai musuh yang tersendiri. Kehidupan moden yang tidak boleh lari dari gajet pun tetap ada yang meletakkan gajet sebagai musuh. Wang yang boleh memberikan kemewahan juga boleh menjadi musuh. Manusia yang hidup tanpa musuh adalah kegilaan kerana musuh itu menjadikan hidup itu waras.

Anda susah hendak memahaminya? Tapi saya menggunakan bahasa yang mudah. Sama seperti akuan bersumpah, bahasanya mudah tetapi tetap susah difahami.

Saya tidak pernah bertukar perwatakan untuk penyamaran. Saya hanya bertukar perwatakan oleh refleksi pada keadaan sekeliling atau emosi. Saya akan bertukar perwatakan jikalau saya marahkan seseorang. Saya boleh menjadikan seseorang itu musuh biarpun sebelum ini dia merupakan sahabat saya. Saya sekarang bermusuh dengan Aku. Saya mahu Aku dimasukkan ke dalam penjara. Dia merupakan majikan saya yang baik. Tetapi saya masih mahu menganiaya Aku. Kebaikannya tidak semestinya menyebabkan kami berbaik. Dalam dunia, semuanya boleh berubah dengan pantas. Bukankah saya sesumpah? Ramai yang tidak tahu bahawa saya mampu berlari pada kelajuan 34 km/jam. Lihatlah betapa liciknya saya untuk melepaskan diri dari kepungan musuh. Aku pasti tidak terkesan dengan helah saya sebelum ini. Dia terpedaya dengan tindakan saya yang nampak perlahan.  Saya pantas menggunakan kelebihan saya sebagai sesumpah.

Ingat. Jangan bayangkan saya seperti sesumpah iaitu haiwan reptilia herbivor itu. Sudah saya katakan, saya telah mengalami metamorfosis. Mungkin sifat reptilia dan herbivor itu sudah saya cerakinkan. Ada ketikanya saya menyerupai buaya yang membaham mangsa biarpun orang itu tidak bersalah. Ah, terpulanglah ikut emosi dan kehendak saya! Saya boleh berubah mengikut keadaan.

Anda tidak tahu bukan? Saya mempunyai penglihatan panorama yang mencecah 360°. Saya mempunyai pandangan monocular dan binocular. Maaf kerana menggunakan istilah yang sukar. Saya mempunyai kebolehan mengawal setiap satu mata di sisi kepala secara sendiri tanpa menjejaskan penglihatan mata yang satu lagi. Yah, saya boleh mengelirukan sesiapa sahaja jika mereka melihat mata saya kerana mereka hanya melihat mata saya dari satu sisi. Satu sisi lagi, saya melihat dari arah yang berbeza. Yah, pandangan mata saya pun sudah boleh menipu!

Jangan terpedaya dengan tubuh saya yang kecil biarpun tidak sekecil Parson’s Chameleon dengan saiz sekitar 68 sentimeter iaitu sebesar kucing rumah. Bukankah saya sudah mengalami metamorfosis? Wajah saya yang tampan hanya dari segi luaran. Dalamannya saya masih seperti sesumpah dengan wajah menakutkan. Dengan wajah itulah saya menjatuhkan sesiapa sahaja.

Sisik sesumpah boleh menukarkan warna dengan memantulkan semula cahaya yang terkena pada sisik tubuh. Sisik atau iridophore cells akan merapat dalam keadaan tenang dan akan meregang apabila dalam keadaan terangsang. Warnanya juga berbeza-beza. Begitulah saya berlakon mengikut situsi. Perwatakan saya berubah mengikut keadaan. Semuanya bertukar mengikut ganjaran yang ditawarkan. Wajah saya boleh bertukar sayu untuk meminta simpati. Kadangkala wajah itu tampak bersemangat untuk meyakinkan sesiapa sahaja. Keberanian ditonjolkan biarpun di dalam hati penuh ketakutan. Saya akan menjulang kitab suci. Itu cuma kitab. Sedangkan hukum yang jelas di dalam kitab itu pun diingkari oleh manusia. Apa yang menakutkan dengan sumpah laknat? Manusia tetap berzina biarpun tahu dengan jelas bahawa perbuatan itu dilaknat oleh Allah.

Nasib baik saya dimetamorfosiskan menjadi manusia yang menggunakan seluar. Saya sebenarnya masih lagi mempunyai ekor. Bolehlah ekor itu disembunyikan. Pada waktu malam, saya akan tunjukkan ekor saya yang sebenar. Saya akan bergerak di celah-celah dahan tanpa seluar dengan ekor saya yang menggenggam. Dari celah pokok itulah saya mengintip Aku. Saya mahu mencari kelemahan Aku. Saya mahu mentelajanginya dengan pelbagai kesalahan. Biar pun tidak logik. Orang akan percaya dengan saya kerana saya ialah sesumpah.

Begini pengakuan yang saya buat : Aku telah memperkosa saya. Saya tidak tahu di mana tempatnya. Siang atau malam juga tidak penting. Kepala saya pusing. Yang pasti, saya telah diperkosa.

Pengakuan saya itu telah ditularkan. Semuanya telah dirancang.

Aku pula bersungguh-sungguh menafikan keadaan tersebut.  Dia mengakui mengenali saya tetapi dia tidak mengakui melakukan perbuatan tersebut. Tetapi Aku tidak berani bersumpah. Saya ketawa apabila mengetahui perkara tersebut. Entah bagaimana, sewaktu saya ketawa, lidah saya tertangkap oleh snap kamera. Lidah saya belum lagi dimetamorfosis dan masih lagi bercabang dan panjang iaitu dua kali ganda dari tubuh badan sendiri. Tetapi saya jadi musykil. Bukankah lidah saya mampu bergerak pantas iaitu lima kali lebih pantas daripada pesawat tempur F16? Jadi bagaimana gambar lidah itu tertangkap? Lelaki yang menangkap gambar saya itu bernama Kau. Namun, Kau tidak mahu mendedahkan gambar tersebut. Dia hanya akan mendedahkan gambar itu pada waktu yang sesuai.

Jikalau sesumpah menggunakan lidah untuk menyambar serangga kecil tetapi saya yang telah dimetamorfosiskan akan menyambar ganjaran yang besar. Saya akan mengabaikan sasaran yang sebesar serangga.

Rupa-rupanya Aku bertindak nekad menafikan sumpah yang saya buat. Aku menelanjangi dirinya dengan mengatakan, “Doktor mengesahkan bahawa saya mengalami Impoten Premier. Jadi bagaimana saya boleh memperkosa?”

Pengakuan itu dikukuhkan lagi oleh pendedahan Kau tentang gambar saya yang berlidah panjang. Sepatutnya pengakuan akuan bersumpah apatah lagi pandangan yang dikongsikan secara langsung melalui Facebook tidak datang kepada masyarakat sebagai serangkai rumus. Semua itu perlu dicerna dan dibiarkan tumbuh dalam minda.

Pengakuan itu melemparkan saya dalam tajam dan gentingnya suasana. Saya terpelanting dari persepsi yang saya cipta. Saya cuba melarikan diri tetapi dengan mudah penyamaran saya dipatahkan. Saya ditangkap di lapangan terbang.

Saya yakin, anda semua tertipu dengan cerita saya. Betul bukan? Sebenarnya, saya tidak pernah mengalami metamorfosis. Saya bukannya sesumpah. Jangan marahkan saya. Aku juga tidak pernah memperkosa saya. Bagaimana Aku boleh memperkosa saya sedangkan saya sebenarnya seorang lelaki? Adakah lelaki berpenampilan perempuan itu adalah  metamorfosis?

TAMAT


Pengarang :