Orang ramai memakai pelitup muka ekoran kebimbangan mengenai penyebaran virus Covid-19 ketika melalui sepanjang Jalan Khao San, lokasi popular untuk pelancong di Bangkok pada 6 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Kes Covid-19 meningkat, Thailand tangguh pesta air

BANGKOK, 17 MAC: Thailand semalam mengumumkan penangguhan perayaan tahun baru tradisionalnya, Songkran pada bulan depan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian setelah negara itu mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Semalam, Thailand mengesahkan 33 kes baharu Covid-19, jumlah terbesar dalam sehari yang menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 147 kes.

Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam berkata 13 hingga 15 April yang ditetapkan sebagai tarikh sambutan Songkran tahun ini, kini bukan lagi cuti rasmi.

“Tarikh baharu (sambutan Songkran) akan diumumkan kemudian,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Pusat Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha semalam.

Semasa Songkran, beribu-ribu warga Thailand pulang ke kampung halaman mereka sementara ribuan pelancong melawat negara itu untuk mengambil bahagian dalam pesta air terbesar di dunia.

Wissanu berkata langkah-langkah lain untuk membendung wabak Covid-19 di negara itu termasuk penutupan sementara tempat yang dikunjungi ramai seperti stadium, stadium tinju, panggung wayang dan tempat hiburan, dan penggantungan aktiviti di universiti, sekolah serta pusat tuisyen.

“Semua langkah akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan pada Selasa dan akan dilaksanakan pada Rabu,” katanya.

Daripada 33 kes baharu hari ini, 16 daripada mereka mempunyai kontak rapat dengan pesakit sebelumnya manakala 17 yang lain telah ke luar negara dan mempunyai kontak rapat dengan warga asing.

Sementara itu, Prayuth menasihati rakyat Thai supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa, mengamalkan kebersihan yang baik, mengelakkan perjalanan ke luar negara, menjalani kuarantin rumah selama 14 hari jika mereka kembali dari negara berisiko tinggi dan mendapatkan rawatan jika sakit.

“Tolong jangan menyebarkan berita palsu kerana ia boleh menyebabkan panik serta jangan mengumpul makanan dan barang. Beri keyakinan kepada kerajaan untuk menangani wabak ini.

“Pandemik akan kekal untuk seketika. Saya faham bahawa anda menderita dan menghadapi kesukaran. Bagaimanapun, kita perlu menanggung dan mengatasi krisis ini bersama-sama … Thailand mesti menang, ” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang berusaha menangani pandemik berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :