Seorang wanita mengenakan penutup hidung dan mulut ketika melalui deretan kedai yang tidak beroperasi di Kuala Lumpur pada 31 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto AFP
AGENDANASIONAL

PM: Siar lagu raya sekali-sekala sahaja, elak sayu

SHAH ALAM, 10 MEI: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sempat berseloroh meminta stesen televisyen dan radio memainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala sahaja bagi mengelak rasa sayu masyarakat.

“Stesen-stesen TV dan radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

“Mainkanlah lagu-lagu hari raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu “Jange Kelik La Weii”. Lagu ni pun OK lah,” seloroh Perdana Menteri ketika menyampaikan Perutusan Khas beliau hari ini.

Muhyiddin berkata beliau tahu ramai yang sedih tidak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga namun meminta rakyat supaya bersabar.

“Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara. Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai.

“Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya.

Kata beliau setiap keluarga hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan pensanitasi tangan sepanjang sambutan perayaan ini.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

“Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” katanya.

Kerajaan hari ini memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepatutnya berakhir 12 Mei ini disambung empat minggu lagi sehingga 9 Jun.


Pengarang :