Selangorkini
Sebuah pesawat penumpang Boeing 777 membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFP
AGENDA NASIONAL

Kumpulan keempat jemaah tabligh rakyat Malaysia dari India selamat kembali

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kementerian Luar memaklumkan bahawa kumpulan keempat jemaah tabligh rakyat Malaysia melibatkan sembilan orang yang terkandas di Kolkata, India telah selamat tiba di tanah air menerusi pesawat Air India Express semalam.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata secara keseluruhannya, kementerian telah membawa pulang seramai 124 daripada 189 orang jemaah tabligh yang terkandas di negara itu.

“Seramai 115 orang telah dibawa pulang sebelum ini menerusi tiga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) masing-masing pada 17, 22 dan 29 Julai lepas.

“Sebagaimana tiga kumpulan itu, mereka yang pulang kali ini juga akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin ditetapkan oleh kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata sembilan individu terbabit telah ditempatkan di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan India di Haj House, Kolkata sejak 1 April bagi menjalani kuarantin yang ditetapkan pihak kerajaan negara itu dan tidak dikenakan sebarang pertuduhan.

Kamarudin juga berkata sehingga hari ini, terdapat seramai 65 jemaah tabligh tempatan yang masih berada di India dengan 13 orang di New Delhi kerana menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada kerajaan negara itu manakala selebihnya sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah iaitu di Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu dan Maharashtra.

Beliau berkata selaras dengan komitmen kerajaan membantu kumpulan jemaah tabligh yang masih terkandas di negara itu, kementerian menerusi perwakilan Malaysia di India akan terus memantau isu tersebut secara rapat serta memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

“Kementerian juga terus meningkatkan usaha serta jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudah cara kepulangan 65 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu dengan segera dan selamat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :