Pekerja membaik pulih tebing runtuh di Pantai Morib, Kuala Langat berikutan fenomena air pasang besar pada 19 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Air pasang besar: 21 pusat pemindahan disediakan

SHAH ALAM, 13 OKT: Sebanyak 21 pusat pemindahan disediakan sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 17 Oktober ini, kata pegawai Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Menurutnya, persediaan itu dibuat bagi menghadapi kemungkinan banjir kilat di beberapa kawasan termasuk Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Sementara itu, kesemua benteng pantai yang pecah ketika fenomena air pasang besar pada September lalu sudahpun dibaik pulih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” kata Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya lagi, Unit Bencana Negeri juga akan melakukan pemantauan menggunakan dron sepanjang tempoh berlakunya fenomena air pasang besar.

“Semua agensi memainkan peranan sepanjang tempoh fenomena tersebut, pemantauan akan dilakukan empat jam sekali ataupun secara berkala,” katanya.

Fenomena air pasang besar kedua dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan ketinggian aras air sekitar 5.7 hingga 5.8 meter.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :