Anggota Bomba dan Penyelamat membawa mangsa yang dipercayai cedera parah akibat dihempap sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak yang runtuh pada 3 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua maut, tiga cedera parah dihempap perancah besi binaan SUKE

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera parah setelah van dinaiki mereka dihempap sebahagian struktur binaan jejambat yang runtuh dalam kejadian di Desa Tun Razak, di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian 5.58 petang tadi, van tersebut sedang melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dua mangsa terbabit disahkan maut di tempat kejadian.

Beliau berkata kesemua mangsa adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun

“Pemandu van berkenaan dikeluarkan pada pukul 8.55 malam dan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan pada 9.27 malam.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zulkefly berkata terdahulu pihaknya menerima laporan sebuah treler yang membawa muatan telah melangggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Katanya, pemandu treler terbabit yang juga warga tempatan telah membuat laporan polis dan akan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggunakan kren.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang kemungkinan berlaku runtuhan kedua.

“Bomba terpaksa menggunakan tiga kren untuk mengangkat struktur runtuhan yang menimpa van berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.

Kejadian itu telah menyebabkan jalan berkenaan terpaksa ditutup kepada pengguna dan kesesakan berlaku sepanjang kira-kira dua kilometer.

-BERNAMA

 


Pengarang :