Anggota Rela ditugaskan di laluan masuk dan keluar Bazar Ramadan Taman Delima, Kajang. Pengunjung perlu beratur dengan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MYSejahtera serta saringan suhu badan sebelum memasuki tapak bazar. Imej dirakamkan pada 14 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor rekod 751 kes baharu Covid-19, satu lagi kematian

SHAH ALAM, 25 APRIL: Sebanyak 751 kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini, menurun sedikit berbanding 768 yang dicatat semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri itu merekodkan angka tertinggi dalam negara dengan 613 kes daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kes termasuk enam kes kluster baharu iaitu Kluster Jalan Bukit Naga dan Kluster Jalan Kuala Garing

“Baki kes meliputi satu kes import dari luar negara dan 137 kes lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, satu kematian baharu turut direkodkan di negeri itu membabitkan lelaki warganegara berusia 60 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan sebanyak 523 pesakit sembuh dicatatkan hari ini dengan keseluruhan kes pulih 124,507.

“Sebanyak 3,123 kes aktif sedang dirawat dengan 13 daripadanya kes jangkitan luar negara,” kata jabatan itu di Facebook.

Keseluruhannya, sebanyak 128,011 kes Covid-19 dilaporkan di negeri itu sejak pandemik menular.

 


Pengarang :