Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau tapak pembinaan Hab Sekuriti Makanan Selangor Smart Agro Park di Changkat Menteri, Sabak Bernam pada 26 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerja pembangunan hab sekuriti makanan dijangka mula pada November

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerja-kerja pembangunan hab sekuriti makanan di Changkat Menteri, Sabak Bernam dijangka bermula November ini, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata setakat ini projek rintis di tapak Selangor Smart Agro Park (SSAP) seluas 971 hektar belum dimulakan bagi memastikan syarat dan kelulusan dipatuhi.

“Namun perancangan sedang dibuat untuk melaksanakan projek iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) membenarkan kerja-kerja pemulihan seperti pembinaan sistem perparitan, kolam takungan penstabilan tanah, kawalan hakisan tanah dan kelodakan.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kini sedang menyiapkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) berdasarkan arahan JAS. Sebanyak 10 syarikat terlibat dengan membabitkan tanah seluas 1,700 ekar,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang Datuk Imran Tamrin berhubung projek pertanian di tapak SSAP pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham memaklumkan bagi memastikan kelestarian flora fauna pihaknya mengambil beberapa aspek seperti mewujudkan kawasan rayau hidupan liar dengan menyediakan ‘Central Forest Spine’ seluas 521 hektar.

“Selain itu zon penampan seluas 50 meter daripada sempadan tanah di sekeliling bangunan ini disediakan dalam memastikan ekosistem hidupan liar terjaga.

“Malah, mengekalkan pokok bersaiz 60 sentimeter diameter pada paras dada dalam kawasan plot pertanian untuk memastikan pokok tidak ditebang dan kesinambungan landskap serta ekologi hutan dipelihara,” katanya.


Pengarang :