Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi (kanan) menyampaikan taklimat ringkas kepada pasukan berbasikal ketika sesi latihan pada 14 April 2022. Foto Facebook MSNS
AGENDAAGENSINASIONALSELANGORSUKANKINI

Sukma 2022: Selangor sasar kedudukan tiga teratas

SHAH ALAM, 1 MEI: Selangor menetapkan sasaran kedudukan tiga teratas pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, yang akan dianjurkan di sekitar Lembah Klang bermula 29 September hingga 8 Oktober ini.

Bagi mencapai misi tersebut, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata kontinjen negeri itu bakal membariskan kira-kira 900 atlet yang akan mencabar pingat dalam kesemua 31 jenis sukan yang dipertandingkan.

Beliau berkata kontinjen negeri itu juga optimis untuk mengekalkan status selaku antara kuasa besar pada edisi kali ini yang dikenali sebagai ‘Sukma XX, MSN 2022’ walaupun atlet di peringkat negeri dan akar umbi kekurangan kejohanan kompetitif.

“Saya berani letak sasaran tersebut kerana persiapan semua negeri ke Sukma kali ini, sama-sama terjejas ekoran pandemik Covid-19. Memang semua orang nak jadi juara, namun kita berazam untuk memastikan kita berada dalam tiga teratas,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Nizam berkata antara sukan disandarkan sebagai prospek utama pingat emas ialah renang, memanah, menembak, olahraga dan karate.

Beliau turut mengakui bahawa sasaran itu bukannya mudah dan bergantung kepada prestasi atlet itu sendiri kerana mereka tidak menyertai sebarang kejohanan bagi mengukur tahap sebenar prestasi masing-masing.

“Ada sesetengah atlet, Sukma inilah kejohanan tertinggi yang disertai setelah pandemik melanda negara. Covid-19 ini banyak menjejaskan usaha kita dalam melahirkan atlet berkualiti pada masa hadapan, namun dengan fasa peralihan ke endemik ini, saya rasa industri sukan tanah air akan lebih baik,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi Sukma 2024 di Johor, Mohamad Nizam berkata persediaan sedang dilaksanakan seiring dengan latihan bagi edisi kali ini, dengan kira-kira 50 peratus atlet yang mewakili Selangor akan bertanding pada edisi akan datang.

Sukma ke-20 yang sepatutnya berlangsung di Johor dari 6 hingga 14 Mac 2020 ditunda beberapa kali susulan pandemik Covid-19, sebelum diputuskan untuk dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara di Lembah Klang.

Selangor merupakan pasukan paling cemerlang dalam sejarah Sukma apabila muncul juara keseluruhan sebanyak sembilan kali sejak temasya sukan itu diperkenalkan pada 1986, dengan kejayaan terakhir pada edisi 2016 di Sarawak.

Ketika kali terakhir Sukma dianjurkan, iaitu pada edisi Perak 2018, Selangor meraih tempat ketiga dengan kutipan 47 pingat emas, 68 perak dan 67 gangsa, di belakang Terengganu (56-51-53) dan Wilayah Persekutuan (52-38-49).

– BERNAMA


Pengarang :