Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika menghadiri Pesta Tanglung DUN Kajang 2022 di Taman Rekreasi Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada 4 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Isu kesihatan awam kekal agenda utama bagi tahun mendatang

KAJANG, 5 SEPT: Isu kesedaran dan kesihatan awam akan terus menjadi agenda utama Kerajaan Selangor bagi manfaat rakyat negeri ini untuk tempoh mendatang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perkara itu sangat penting selepas negara berdepan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata negeri berbelanja besar bagi melaksanakan usaha itu secara percuma antaranya pemberian vaksin, Selangor Saring dan Selangor Mental Sihat.

“Ketika pandemik, kita melakukan saringan kesihatan untuk mengesan status Covid-19 dan akan datang selagi kerajaan ini ditadbir kita, kita akan pastikan program kesihatan ditambah,” katanya.

Bercakap pada sambutan pesta tanglung di Taman Rekreasi Bandar Mahkota di sini malam tadi, Amirudin menambah satu lagi skim insurans turut diperkenal bagi melindungi rakyat.

“Pada masa sama, kita mahu melindungi rakyat kerana selepas Covid-19 kita lihat ramai yang menderita, terkesan dan meninggal dunia.

“Justeru mulai Oktober ini dan insya-Allah kita sambung lagi tahun hadapan, kita perkenal Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) di mana kita bayar premium insurans berkenaan,” katanya.

Pada 30 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai enam juta rakyat bakal menerima perlindungan insurans am berkumpulan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Ditawarkan kepada penduduk dari usia 30 hari ke 80 tahun, inisiatif itu bagi membantu meringankan beban mereka yang dihimpit masalah dengan perlindungan sehingga RM10,000.


Pengarang :