Pemain beregu lelaki Malaysia Nur Izzuddin Rumsani (kiri) dan Goh Sze Fei meraikan kemenangan menewaskan beregu China Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi pada saingan suku akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, pada 1 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pamer prestasi hambar, gandingan Sze Fei-Nur Izzuddin setuju berpisah – Rexy

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Susulan prestasi kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, telah mengambil keputusan untuk berpisah, kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky.

Rexy berkata keputusan tersebut diambil selepas juara Terbuka Jerman 2022 itu mengadakan pertemuan dengannya petang semalam.

Beliau berkata pihaknya telah melakukan sedaya upaya bagi mengekalkan beregu berkenaan, namun kedua-dua pemain nekad untuk menamatkan gandingan yang dibentuk sejak 2016 itu.

“Jadi bukan kita (BAM dan pihak kejurulatihan) yang setuju, tapi mereka (Sze Fei-Nur Izzuddin) yang tidak mahu main bersama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada mereka akan digandingkan dengan pasangan baharu, pakar beregu dari Indonesia itu berkata barisan kejurulatihan akan membuat perbincangan bagi menentukan hala tuju kedua-dua pemain berkenaan selepas ini.

Sejak menjuarai Terbuka Jerman pada Mac lepas, pasangan yang menghuni ranking ke-11 dunia itu dilihat bergelut untuk mengekalkan konsistensi mereka, termasuk tersingkir daripada pusingan pertama pada dua kejohanan tahun ini iaitu Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

Pasangan negara itu ditunjuk jalan keluar oleh pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-16, 11-21, 17-21 pada Terbuka Malaysia dan pulang awal dari Terbuka India selepas tumpas kepada satu lagi wakil China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang, 21-19, 21-17.

— BERNAMA

 


Pengarang :