Balasubramaniam Batumalai, 43, menghias kavadi burung merak yang ditempah pelangan di Kampung Sungai Manggis, Banting pada 27 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Gabungan unsur moden dan tradisional, rekaan kavadi sampai Eropah

SHAH ALAM, 3 FEB: Berpuasa 48 hari sebelum sambutan Thaipusam antara amalan B Balasubramaniam sebelum menyewakan kavadi kepada penganut Hindu untuk upacara keagamaan perayaan berkenaan.

Meski tidak wajib berbuat demikian, kerana menganggap kavadi yang disewakan itu sebahagian dirinya, bapa kepada tiga anak itu hanya berbuka dengan makanan berasaskan sayur.

Amalan berpuasa sedemikian diwajibkan bagi mereka ingin menjunjung kavadi untuk menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan.

Perayaan berkenaan disambut pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Ketika itu, bulan penuh Thai berada pada kedudukan melintasi bintang terang bernama ‘Pusam’.

“Selama 26 tahun setiap kali Thaipusam, saya berpuasa untuk ambil semangat memohon keampunan. Kavadi yang disewa dan dijual itu saya anggap sebahagian daripada diri.

“Saya rasa bertanggungjawab ke atas semua kavadi yang saya hasilkan,” kata Balasubramaniam ketika ditemui Selangorkini di bengkelnya di Kampung Sungai Manggis, Kuala Langat pada 27 Januari.

Pembuat kavadi Balasubramaniam Batumalai, 43, menunjukan perbezaan bulu merak putih dengan bulu merak biasa dalam rekaannya di Kampung Sungai Manggis, Banting pada 27 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

Tahun ini, jumlah kavadi yang dijual dan disewa meningkat mendadak berikutan jangkaan pihak berkuasa membenarkan perarakan besar-besaran di pelbagai kuil Dewa Murugan termasuk di Batu Caves, Gombak.

Sebelum ini, upacara berkenaan terpaksa dibatal dan dihadkan bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) mengekang Covid-19. Balasubramaniam yang berusia 43 tahun turut terkesan namun akur kerana nyawa dan kesihatan lebih penting.

Sebelum virus melanda, dia menerima tempahan kira-kira 60 kavadi setahun. Kebanyakan rekaannya diperbuat daripada bulu merak, antara ciri utama kavadi.

Reka bentuk moden

Mengikut kepercayaan Hindu, haiwan itu ditunggang Dewa Murugan untuk ke mana-mana sahaja.

“Tetapi tahun ini saya dapat tempahan 250 kavadi dan sehingga sekarang pun, masih ada bertanya sekiranya masih ada kavadi untuk disewa atau dijual.

“Maksudnya tahun ini ramai orang mahu melakukan upacara menjunjung kavadi, kita faham sebab sebelum ini ada kekangan,” katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai penyelia mekanikal di sebuah kilang di Kuala Langat.

Anak jati Seremban, Negeri Sembilan itu mula minat dengan kavadi selepas terpikat dengan keindahan perarakannya ketika berusia lapan tahun semasa berkunjung ke Batu Caves.

Sejak itu, dia menanam cita-cita mahu menjadi pembuat kavadi. Balasubramaniam berhasrat membuat kavadi dengan reka bentuk lebih moden dengan gabungan unsur tradisional.

Berbekal kemahiran di Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional Ampangan (kini dikenali Kolej Vokasional Ampangan) di Seremban, Balasubramiam menghasilkan kavadi pertama pada usia 17 tahun menggunakan kayu.

“Waktu itu hendak buat kavadi murah sahaja, kayu dan bahan lain dapat daripada kawan… bulu merak pun hanya 25 sen sekeping tetapi sekarang RM1.80,” ujarnya.

Kavadi hasil tangan Balasubramaniam bersama rakannya mendapat perhatian masyarakat sekitar Seremban sehingga ada yang menyewa kerana tertarik dengan reka bentuknya yang moden.

“Dahulu kavadi dibuat tradisional dan ada penutupnya guna daun pisang sahaja… kita guna kain yang coraknya lebih menarik dan pasang lampu.

“Dari saat itu, penduduk sekitar Seremban kenal saya sebagai pembuat kavadi, dahulu sewa RM150 tetapi sekarang lebih daripada itu,” katanya.

Sebahagian kavadi yang telah disiapkan Balasubramaniam Batumalai di Kampung Sungai Manggis, Banting pada 27 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

Selepas berhijrah dari Seremban ke Perak dan Selangor pada 2000, Balasubramaniam meneruskan perkhidmatan sewa kavadi sebagai pendapatan sampingan dan membantu penganut Hindu mendapat alternatif lain menyewa peralatan berkenaan.

Atas faktor itu, dia mempunyai ramai pelanggan tetap dari seluruh Semenanjung Malaysia yang mencari kavadi bukan sahaja ketika Thaipusam, tetapi juga upacara keagamaan tertentu.

“Promosi secara dalam talian seperti Facebook juga membantu, saya pernah dapat tempahan dari London, United Kingdom dan Australia untuk kegunaan kuil di sana,” katanya.

Kavadi dihasilkan Balasubramaniam yang menggunakan besi dan kayu seberat enam hingga 52 kilogram.
Dia menggunakan pengetahuannya untuk menghasilkan kavadi lebih seimbang dan mudah dijunjung.

Harganya pula boleh mencecah sehingga RM6,000 ke atas atau disewa yang kadarnya bergantung kepada saiz.

Selain menjunjung kavadi dan mencucuk anggota badan dengan besi dan cangkuk berbeban, penganut Hindu juga membayar nazar dengan membawa susu dan mencukur rambut di kuil.


Pengarang :