BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Difitnah sepupu demi seruan islah

Oleh Abdul Rahim Sabri

Cabaran dalam melaksanakan islah yang dipelopori Haji Mihad lakonan Datuk M Nasir dalam filem Imam menyaksikan pelbagai bentuk dugaan terpaksa ditempuhinya.

Pasti ada pihak tersinggung atau berasa tergugat dengan perkembangan baharu itu sehingga timbul tuduhan sesat, salah satu usaha untuk menyekat arus penerimaan islah.

Filem bercorak keagamaan arahan Mior Hashim Manap menceritakan kisah Haji Mihad yang pulang ke Kampung Anggerik Desa dengan membawa perubahan melalui ilmu agama setelah sekian lama penduduk di situ ‘hilang punca’.

Karya itu diadaptasi daripada novel Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein yang menerima Hadiah Novel Nasional 1992-1994 dan tempat pertama Sayembara Sako anjuran Utusan Publication dan Public Bank.

Namun, filem kira-kira dua jam itu tidak mampu menyumbat intipati yang terserlah dalam novel tersebut. Meski di tangan pembikin filem mampan seperti Mior Hashim, usaha itu bukan mudah, kekangan tetap ada.

Babak-babak 25 minit pertama filem berkenaan menyaksikan bagaimana dakwah dan diplomasi Haji Mihad yang amat disenangi ahli kariah khususnya anak muda seterusnya gemar mendampingi beliau.

Haji Mihad juga menyekat kegiatan khurafat dengan memusnahkan perbuatan pemujaan nombor ekor di kubur Haji Salih, orang alim di kampung itu. Apatah lagi nasihat bekas imam tua Haji Abdul Rahman lakonan Datuk Rahim Razali tidak diendah lagi.

Seperti novel, filem itu memaparkan suasana kemasyarakatan di Masjid Haji Salih. Kewujudan tadika dan padang bola untuk kanak-kanak, pasukan kompang untuk anak muda bernyanyi dan permainan alat muzik serta kuliah untuk orang tua antara kaedah dakwah Haji Mihad.

Hasil sikap terbuka dan tidak terikat dengan amalan ritual semata-mata, banyak kegiatan termasuk gotong-royong di masjid dan tanah perkuburan membawa kepada keakraban penduduk.

Ini sekali gus menidakkan perpecahan dalam kariah seperti dakwaan seteru Haji Mihad.

Komplot

Sejam berikutnya, filem itu memaparkan keegoan, cemburu dan ketakutan watak protagonis iaitu Haji Syamsuri lakonan Faizal Hussein terhadap pembaharuan yang dibawa Haji Mihad.

Perwatakan yang keras, cemburu, bengis, tidak bertanggungjawab, berasa lebih pandai dan licik memacu cerita dalam babak komplot bagi menyingkirkan Haji Mihad yang juga sepupunya.

Permusuhan bermula akibat sangkaan akaun kewangan masjid mahu diperiksa bagi menghentikan kerja dakwah Haji Mihad. Ini termasuk babak dramatik cubaan merampas tugas memimpin solat dan menyampai khutbah Jumaat.

Pihak berkuasa agama juga memberi tekanan kepada Haji Mihad dengan mempersoal kewibawaan dan keilmuan Haji Mihad termasuk isu khutbah yang disampaikan tanpa membaca teks yang disediakan.

Situasi itu mengingatkan penonton kepada isu solat dua imam dan gejala takfiri yang menjadi konflik pada 1980-an. Kesannya dirasai hingga ke hari ini. Era tersebut menjadi latar filem ini.

Lantaran gagal mempengaruhi penduduk kampung, Haji Syamsuri dan konco-konconya mengolah helah dengan mendakwa ada emas sekitar masjid itu. Kampung itu kemudian menjadi tumpuan ramai sehingga terjadi peristiwa yang mengorbankan jiwa. Tragedi tersebut membawa kepada babak akhir yang pilu.

Namun, pengarah secara bijaksana tidak menunjukkan penglibatan langsung Haji Syamsuri bersama-sama masyarakat. Beliau terpisah dari masyarakat dan hidup dalam dunianya sendiri.

Situasi itu berbeza berbanding Haji Mihad yang memimpin rakyat waktu senang atau susah. Ia secara tidak langsung memberi gambaran Haji Syamsuri tidak layak memimpin umat Islam.

Namun, beberapa babak dirasakan tidak perlu, malah mengelirukan jalan cerita. Umpamanya, pengenalan Haji Mihad sewaktu menjadi perajurit di perbatasan Malaysia–Kalimantan dan isterinya berketurunan Dayak.

Meski ada kelemahan, filem ini diselamatkan hasil penghayatan watak pelakon berpengalaman dalam melontar dialog selain aksi bersahaja seperti bersembang. Apatah lagi, lagu tema Munajat nyanyian M Nasir cukup puitis sekali gus menguatkan lagi penceritaan Imam.

 

 


Pengarang :