AGENDAJENAYAH

Lelaki bakar rumah selepas berang ahli keluarga lapor terlibat dadah

MUKAH, 2 MAC: Berang selepas mengesyaki ahli keluarga melaporkan penglibatannya dalam aktiviti dadah, seorang lelaki bertindak membakar rumah keluarganya di Skim Penempatan Semula Kampung Sungai Alo di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias dalam kenyataan berkata kejadian 7.40 malam itu menyebabkan 12 penghuni termasuk suspek kehilangan tempat tinggal.

“Suspek yang merupakan penganggur berusia 30 tahun dikatakan memulakan kebakaran itu di bahagian belakang rumah. Pada 7.40 malam pemilik rumah yang juga abang kepada suspek telah terdengar suspek memanggil keluar ahli keluarganya untuk keluar memadamkan api.

“Apabila mangsa dan semua ahli keluarga keluar dari rumah, mereka dapati bahagian belakang rumah terbakar dan api sedang merebak. Mereka berjaya selamatkan diri tetapi tidak dapat menyelamatkan barang peribadi di dalam rumah tersebut,” katanya.

Suspek yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah kemudiannya ditahan ahli keluarganya dan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah berjaya memadamkan api namun rumah tersebut musnah keseluruhannya.

Suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata kini direman untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :