Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) dan Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin (tiga, kiri) bersama Pengarah Asia The Ocean Cleanup Steven Paalman (dua, kiri) bergambar bersama selepas sesi lawatan Interceptor 005 di Sungai Klang, Klang pada 13 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

86,449 tan metrik sampah dikutip di Sungai Klang sejak 2016

KLANG, 13 JUN: Sebanyak 86,449 tan metrik sampah dikutip di Sungai Klang melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) menggunakan mesin pengutip sampah Interceptor 005 sejak 2016.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata daripada jumlah itu, 51 peratus adalah sampah bukan organik manakala bakinya organik.

“Pembersihan Sungai Klang dilakukan sejak 2016 dan diawal operasi 1,492 tan metrik dikutip. Secara keseluruhan sebanyak 86,449 tan metrik dikutip di Sungai Klang.

“Daripada jumlah itu, 49 peratus sampah organik manakala daripada 51 peratus sampah bukan organik, 80 peratus adalah plastik,” katanya dalam sesi taklimat di Mangrove Point, Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) mendengar penerangan Pengarah Asia The Ocean Cleanup Steven Paalman (kanan) ketika sesi lawatan di Sungai Klang, Klang pada 13 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Taklimat berkenaan merupakan kerjasama antara LLSB dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei (UNGCNMB).

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad meluang masa meninjau operasi mesin pengutip sampah Interceptor 005 di Sungai Klang.

Bercakap kepada media, Nik Nazmi mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Selangor berikutan kejayaan dalam membersihkan sungai berkenaa.

“Saya sudah melawat salah satu mesin Interceptor 005 yang berfungsi menangkap sampah di laut terutama plastik.

“Mengikut laporan diberikan, sampah di Sungai Klang semakin berkurangan dan begitu juga bau. Dahulu Sungai Klang berada pada kelas lima kepada kelas tiga, tahniah kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) dan Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin (kanan) mendengar penerangan Pengarah Asia The Ocean Cleanup Steven Paalman (kiri) ketika sesi lawatan di Sungai Klang, Klang pada 13 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam lawatan sama, Nik Nazmi turut menyaksikan majlis menandatangani kolaborasi antara LLSB dan UNGCNMB dalam membangunkan rangka kerja kelestarian dan pelan tindakan projek SMG.

Syaiful Azmen mewakili LLSB manakala UNGCNMB diwakili Pengarah Eksekutifnya Faroze Nadar.

Pada masa sama, MBI menjadi badan pengurusan pelaburan dan aset negeri pertama di Malaysia yang menyertai UNGCNMB. MBI diwakili Ketua Pegawai Kewangannya Zannifa Azura Ahmad.


Pengarang :