Skuad hoki negara menang ke atas Singapura 8 – 1 di Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park pada 1 Oktober 2023. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Sukan Asia: Skuad hoki wanita menang 8 – 1 ke atas Singapura

HANGZHOU, 1 OKT: Skuad hoki wanita negara mengubat luka kekalahan terhadap India Jumaat lalu dengan membelasah Singapura 8-1 dalam aksi ketiga Kumpulan A temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park hari ini.

Pada aksi tersebut skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu mendominasi perlawanan apabila terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti yang dicipta Wan Norfaiezah Md Saiuti.

Malaysian Tigress menggandakan kedudukan enam minit kemudian menerusi Siti Nur Arfah Mohd Nor yang membuat pukulan sudut penalti, sebelum Nuraini Abdul Rashid meletakkan Malaysia di kedudukan selesa 3-0 dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-29.

Skuad negara terus menekan Singapura selepas menambah dua gol pada suku ketiga menerusi Nurmaizatul Hanim Syafi pada minit ke-31, sebelum pasukan lawan meledak jaringan pertama mereka empat minit kemudian menerusi gol padang Sardonna Ng Yu Xin.

Jaringan Singapura bagaimanapun tidak mematahkan semangat Malaysia untuk mencetak gol padang menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-37, sebelum Khairunnisa A Mohd Sharduddin membuat pukulan sudut penalti sekali gus menyumbang mata keenam pasukan pada minit ke-48.

Tidak cukup dengan itu, Malaysia terus menambah duka Singapura apabila sekali lagi meledak jaringan padang menerusi Hanis Nadiah Onn pada minit ke-54 sebelum beliau membuat pukulan sudut penalti lima minit kemudian untuk mata kelapan negara.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan hari ini, Mohd Nasihin menyifatkan kemenangan itu sebagai tonik tambahan bagi perlawanan terakhir peringkat Kumpulan kelak.

“Singapura beri tentangan yang baik dalam permainan, mereka adalah pasukan meningkat naik yang bagus…kita boleh jadikan itu sebagai persediaan untuk perlawanan selepas ini,” katanya.

Mohd Nasihin berkata sebagai persediaan bertemu Korea Selatan, pasukan negara perlu menukar strategi memandangkan pasukan lawan merupakan skuad yang kuat, selain pemain perlu pulih daripada sebarang kecederaan sebelum aksi terakhir itu.

Malaysia bakal bertemu Korea Selatan bagi perlawanan terakhir Kumpulan A pada Selasa.

– BERNAMA


Pengarang :