AGENDAJENAYAH

Polis cari dua lelaki disyaki terlibat kes pecah rumah

IPOH, 24 DIS: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM1.24 juta di Taman Mansion di sini pada 12 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan peniaga berusia 28 tahun mengalami kerugian harta benda antaranya koleksi jam tangan mewah pelbagai jenama termasuk Rolex GMT Master II dan IWC Annual Calendar Big Pilot Gold serta barang kemas, telefon bimbit dan komputer riba.

“Pihak polis memandang serius kes terbabit dan sedang menjalankan operasi khas untuk mengesan suspek-suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan gambar dua lelaki itu disebarkan bagi membantu pengesanan suspek berkenaan.

Yahaya berkata orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua suspek itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes ASP Norazlina Rais Ahmad melalui talian 013-6282176 atau Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang beroperasi 24 jam, 05-2542222 untuk membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :