Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Pesara guru rugi hampir RM320,000 angkara pelaburan tidak wujud

KUANTAN, 6 JAN: Seorang pesara guru mengalami kerugian hampir RM320,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi media sosial Oktober lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 78 tahun itu telah tertarik dengan iklan pelaburan di laman Facebook dikenali OSK Trading Securities.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan penjelasan mengenai berdagang dalam platform yang disediakan dengan memperoleh keuntungan 10 hingga 20 peratus.

“Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan ditawarkan dan pembayaran telah dilakukan secara berperingkat ke dalam empat akaun bank berbeza, namun mangsa menyedari ditipu setelah tidak memperoleh sebarang keuntungan serta modal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, beliau memaklumkan polis Pahang sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan kempen pencegahan jenayah komersial sentiasa dipertingkatkan untuk memberi pendedahan trend terkini modus operandi sindiket secara berterusan khususnya menerusi media sosial.

“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud, jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan,” kata Yahaya.

– BERNAMA


Pengarang :