Temu bual bersama pelawak, penyanyi dan pelakon Azlee Senario atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar ketika sesi rakaman podcast Borak Kaypoh di Abstrax, Shah Alam pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Senario rintis jalan lonjak populariti komedi tempatan

Oleh NAZLI IBRAHIM

Tidak dapat dinafikan, Senario bertanggungjawab merintis zaman emas dunia lawak mutakhir ini dan menjadikan artis komedi penghibur buruan dalam dunia seni negara.

Seorang anggotanya Azlee yang jatuh bangun selama 29 tahun dengan kumpulan itu menyifatkan Senario menaikkan status artis pelawak pada aras tinggi.

“Bila nama Senario makin laris dan menang pula macam-macam anugerah, kita boleh nampak barulah martabat artis komedi diangkat, bukan macam dulu lagi,” kata bapa dua anak itu kepada Selangorkini pada 24 Januari.

Pemilik nama Mohd Azlee Jaafar menganggap dirinya bertuah kerana menjadi sebahagian sejarah panjang kumpulan yang menjadi nama besar industri hiburan.

Azlee juga antara pengasas siri komedi (sitkom) Senario. Bersiaran antara 1996 hingga 2013, program itu meraih empat Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dalam kategori Penghibur TV Popular dan Artis Duo / Berkumpulan Popular.

Mereka juga dua kali memenangi trofi Anugerah Skrin dalam kategori Rancangan Hiburan Terbaik. Kemuncaknya dinobatkan pemenang Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman dalam Anugerah Lawak Warna pada 2014.

Temu bual bersama pelawak, penyanyi dan pelakon Azlee Senario atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar ketika sesi rakaman podcast Borak Kaypoh di Abstrax, Shah Alam pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Azlee juga melihat kejayaan rakan dalam Senario, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff atau dikenali Saiful Apek muncul artis komedi pertama meraih Anugerah Bintang Paling Popular 2004 membuka mata banyak pihak industri seni.

“Bukan senang artis komedi sampai tahap itu. Senario juga pernah diiktiraf sebagai pelawak sepanjang zaman oleh Astro. Satu pengiktirafan yang kita rasa bakat seni kita dihargai,” katanya.

Selain Azlee dan Saiful Apek, pelawak yang pernah menganggotai Senario ialah Allahyarham Hamdan Ramli, Ilya Buang, Mazlan Ahmad (Lan Pet Pet), Abdul Wahid Mohamad (Wahid), Shamsul Azahar Aliddin (Shamsul Ghau Ghau) dan Yassin Yahya.

Ukir nama

Mengimbau kelahiran Senario, Azlee meraih tempat keempat Sinaran Pasport Kegemilangan 1994, terpilih sebagai artis tetap bersama pemenang pertandingan itu dengan jawatan penolong penerbit di Jabatan Hiburan TV3.

“Saya sebenarnya bekerja dengan TV3 bersama Lan Pet Pet dan Wahid sebagai penolong penerbit di jabatan hiburan TV3. Kemudian TV3 suruh kami buat kertas kerja projek pertama buat sitkom.

“Masa kita cari nama kumpulan, kalau tak silap saya, Shamsul Ghau Ghau yang mula-mula mencadangkan Senario. Mula-mula nak bagi nama Senang Riuh tetapi rasanya Senario lagi sedap dan sesuai dengan konsep,” katanya.

Senario turut mengukir nama dalam perfileman. Sebanyak 11 filem diterbitkan, yang pertama Senario The Movie pada 1999 memperoleh kutipan RM5.2 juta, suatu jumlah yang tinggi ketika itu.

Jumlah tertinggi diraih Lagi-Lagi Senario dengan kutipan RM6.33 juta pada 2001.

Filem lain ialah, Senario Lagi (2000), Lang Buana (2003), Senario XX (2005), Senario Pemburu Emas Yamashita (2006), Senario The Movie: Episod 1 (2008), Senario The Movie Episod 2: Beach Boys (2009), Senario Asam Garam (2010), Senario The Movie Ops Pocot (2011) dan Jaga-Jaga Senariounion (2022).

“Watak paling susah masa berlakon orang terencat akal dalam Senario The Movie kerana banyak main ekspresi muka. Hujung-hujung baru ada dialog.

“Selain itu yang saya tak boleh lupa, masa saya main dua watak. Satu anak raja dan satu lagi sultan dalam Lang Buana,” katanya.

Temu bual bersama pelawak, penyanyi dan pelakon Azlee Senario atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar ketika sesi rakaman podcast Borak Kaypoh di Abstrax, Shah Alam pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam nyanyian, Senario merakam enam album antara 1997 hingga 2005. Sehingga kini, Senario satu-satunya kumpulan pelawak ke Anugerah Juara Lagu dua kali pada 2000 dengan lagu Cepat Kaya dan 2006 menerusi Zapin Cinta SMS.

Keunikan lagu Senario pada liriknya mengenai kehidupan masyarakat dan berunsur nasihat, sekali gus memikat kanak-kanak dan orang dewasa.

Bercakap mengenai artis komedi sekarang, Azlee menasihatkan supaya tidak membuat lawak menyinggung perasaan pihak lain termasuk juri pertandingan.

Selain itu, memplagiat lawak artis komedi lain, kerap menggunakan bahan sama dan mengajuk gaya orang terkenal akan membuatkan seseorang pelawak tidak bertahan lama.

“Bukan senang jadi pelawak. Mesti ada bakat semula jadi. Tak boleh buat-buat. Kalau buat-buat tak menjadi tetapi kebanyakan peserta sekarang buat lawak yang orang sudah buat.

“Mesti ada satu identiti dan kekuatan sendiri untuk berlawak. Pada saya itulah yang menunjukkan pelawak sebenar,” katanya.

 


Pengarang :