Selain permainan tradisional seperti congkak dan dam ular, futsal antara aktiviti yang dianjurkan dalam Karnival Perpaduan Rumpun Selangor di Kuala Kubu Bharu pada 22 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Gagasan Rumpun Selangor Hulu Langat 24 hingga 26 April, saji pelbagai acara menarik

SHAH ALAM, 21 APRIL: Orang ramai dipelawa hadir memeriahkan program Gagasan Rumpun Selangor daerah Hulu Langat pada 24 hingga 26 April ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli turun ke beberapa lokasi sepanjang tiga hari program berkenaan.

Tengku Amir Shah turut dijadual berangkat melawat Warung Roti Canai Teras Jernang, Kajang Wall Mural, Medan Sate Kajang, Bangi Square 2 dan Pasar Malam Downtown Jalan Reko.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menggunting rambut ketika hadir melawat di IKBN Peretak pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu pada 22 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Baginda turut dijadual melawat Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat, Pusat Permata Pintar, Rumah Pengasih Warga Prihatin di Sungai Ramal, Kilang Pemprosesan Sate Kajang Haji Samuri dan Denai Sungai Langat.

Selain itu, Masjid Rinching Hulu Beranang, Institusi Perindustrian MARA Jepun (MJII), Projek Agro Bandar Melon ACE Pandan Jaya dan Pusat Anaerobic Digester MPAJ turut tersenarai antara lokasi yang bakal dikunjungi Baginda.

Pelbagai program menarik di setiap lokasi seperti klinik bola sepak serta walkabout bersama pemain Selangor FC, persembahan silat, tarian, kebudayaan, muzik jalanan, rewang dan santapan kenduri.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menaiki ATV pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di kampung Orang Asli Ulu Tamu di Kuala Kubu Bharu pada 21 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan mencuba aktiviti menyumpit pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di kampung Orang Asli Ulu Tamu di Kuala Kubu Bharu pada 21 Februari 2024. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :